KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Agensi pelancongan atau syarikat berkaitan pelancongan kini boleh menyediakan jadual perjalanan pelanggan merangkumi pilihan rangkaian hotel di seluruh dunia, termasuk tiket penerbangan tanpa mengambil masa yang lama.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun berkata perkara itu dicapai selepas persatuan berkenaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Nexus DMC hari ini.
Mohd Khalid berkata kerjasama ini bukan sahaja memendekkan waktu dalam menyediakan jadual perjalanan pelanggan, tetapi ia juga dapat mengelakkan pelanggan daripada menjadi mangsa jenayah penipuan.
“Ahli kita kini dengan mudah boleh menyediakan cadangan pakej jadual perjalanan secara masa sebenar, hanya beberapa saat atau minit seperti yang diperlukan pelanggan dan boleh dijual dengan segera… Tidak seperti dahulu, kita perlukan masa yang lebih lama untuk menyediakan pakej perjalanan lengkap.
“Keduanya, sekarang ini banyak penipuan. Jadi melalui MATA, kami mengambil tanggungjawab untuk menyaring dahulu agensi pelancongan atau syarikat yang terlibat dengan industri pelancongan sebelum mereka dapat menawarkan perkhidmatan atau menjadi ahli kami, dengan cara ini kita dapat menangani jenayah penipuan dalam industri ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama Nexus DMC yang diwakili Pengurus Serantau-Asia Tenggara Suman Mathevan.
Mohd Khalid berkata kerjasama dengan Nexus DMC yang boleh diakses melalui laman sesawang itu menandakan pencapaian penting dalam usaha pihaknya mengadaptasi teknologi demi kemajuan sektor pelancongan Malaysia, sekali gus meletakkan negara sebagai peneraju global dalam perkhidmatan pelancongan inovatif.
“MATA ketika ini dalam usaha mengoptimumkan penggunaan inovasi dan teknologi dalam perkhidmatan kita. Kaedah ini juga akan memudahkan agensi pelancongan yang baharu dalam industri ini untuk menjalankan perniagaan dan menawarkan pakej mereka.
“Kerjasama ini dapat memanfaatkan lebih 5,000 ahli kita, tetapi kita tidak mewajibkan kepada semua ahli untuk menggunakan kaedah ini, dan mereka mempunyai pilihan untuk menggunakan kaedah ini atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Suman berkata Nexus DMC berdedikasi untuk memperkasakan para profesional pelancongan dengan alat yang merevolusikan operasi mereka, dan kerjasama itu juga menekankan komitmen mereka untuk mencipta pengalaman pelancongan yang tidak dapat dilupakan serta memajukan industri pelancongan Malaysia.
“Dengan platform ini, agensi pelancongan kini boleh menempah tiket penerbangan, hotel, pengangkutan darat, semuanya secara serta-merta dalam satu platform, dan kami juga menguruskan visa melalui platform yang sama.
“Bagi harga yang ditawarkan dalam pakej pula, ia sepenuhnya berdasarkan sistem. Apa sahaja yang diberikan oleh sistem, itulah harganya. Namun, jika agensi pelancongan mempunyai kumpulan besar dan ingin berunding dengan kami, kami sentiasa terbuka untuk itu. Terdapat bantuan, e-mel dan perbualan langsung yang boleh mereka hubungi pada bila-bila masa untuk berbincang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial