Oleh Rozainah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) diyakini memberi ruang kepada pengamal media untuk membuat liputan secara bebas dan tidak tertekan dengan pelbagai kekangan daripada pihak luar.
Pengarah Urusan Vanakkam Malaysia M Thiaga Rajan berkata dengan adanya usaha baik itu, integriti pengamal media boleh dijamin kerana ia akan diselia oleh pengamal media sendiri.
“Kita boleh beri berita lebih sahih kepada penonton atau pembaca di luar kerana itu diharapkan rakyat, mereka hendak tahu perkara benar. Dengan MMM perkara itu dapat diberi keutamaan. Ini perlu kerana media diangkat pilihan keempat dalam sistem demokrasi jadi akan beri semakan dan imbangan lebih mantap,” katanya kepada Bernama di sini.
Persidangan Dewan Rakyat Rabu lepas meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia (MMM) 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih, berintegriti dan adil.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang berperanan dalam merealisasikan MMM kerana lama ditunggu oleh industri media dan menyifatkan ia satu reformasi kerajaan dalam memastikan pengamal media sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Mengenai Rang Undang-Undang BERNAMA (Pindaan) 2024 yang turut diluluskan Rabu lepas, Thiaga Rajan berkata ia sememangnya diperlukan untuk memberi peluang kepada pengamal media digital memainkan peranan penting dan bermakna dalam menyampaikan maklumat sahih.
“Teknologi masa berubah jadi pindaan tepat pada masanya iaitu kita tidak boleh mengasingkan media digital daripada keseluruhan sistem media.
“Vanakkam Malaysia juga adalah media digital yang mula beroperasi sejak 2003, kita sudah menunggu terlalu lama untuk diberi pengiktirafan seperti ini,” katanya.
Beliau berkata Vanakkam Malaysia yang baru mula mengeluarkan berita dalam versi bahasa Melayu sedang dalam perancangan untuk menjadi pelanggan Bernama bagi memperoleh berita-berita dihasilkan agensi berita rasmi negara itu.
“Kos untuk menggaji wartawan juga meningkat dan kadang-kadang ada tempat kita tidak dapat buat liputan jadi dalam keadaan itu boleh langgan Bernama, kita mempunyai editor yang boleh menterjemahkan bahasa,” katanya.
Pindaan terhadap Akta BERNAMA 1967 (Akta 780) yang kali pertama dibuat sejak akta itu digubal pada 1967, diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan lapan Ahli Parlimen.
RUU itu meminda Seksyen 2 Akta 780 bagi memasukkan satu tafsiran baharu “organisasi media” yang merangkumi bukan sahaja media cetak (surat khabar dan apa-apa medium percetakan) tetapi turut meliputi komunikasi massa iaitu media elektronik dan digital, seiring dengan ledakan teknologi dan digital masa kini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial