Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Mahu Siasatan Menyeluruh Cari Jawapan Punca Bunyi Letupan, Gegaran Di Ipoh - Saarani

21/06/2025 03:56 PM

IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perak meminta jabatan dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mencari jawapan punca bunyi letupan dan gegaran di beberapa kawasan di sini, Rabu lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kejadian berkenaan termasuk yang berlaku Oktober tahun lepas telah menimbulkan kacau ganggu terhadap ketenteraman serta rutin harian penduduk.

"Jadi sudah sampai masanya jabatan serta agensi berkaitan menyediakan laporan dan kajian penuh punca berlakunya bunyi letupan itu," katanya pada sidang media selepas menutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini. 

Beliau berkata orang ramai bagaimanapun dinasihatkan agar tidak menyebarkan perkara yang tidak benar berhubung insiden berkenaan. 

"Orang ramai juga tidak perlu resah atau bimbang kerana setakat ini keadaan terkawal, malah tiada insiden buruk dilaporkan," katanya. 

Pada 18 Jun lepas, orang ramai mendakwa mendengar bunyi letupan dan gegaran sekitar Chemor dan Chepor, di sini pada 10.30 pagi, namun sehingga kini puncanya masih belum diketahui.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin dalam sidang media keesokannya memaklumkan polis akan mengadakan perbincangan dengan jabatan serta agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi mengetahui punca bunyi letupan dan gegaran itu.

Pada 21 Okt tahun lepas, satu gegaran kuat turut dirasai di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi, Chemor dan Sungai Siput pada 11.06 pagi, disusuli bunyi dentuman kuat dengan siasatan tidak dapat mengesahkan punca kejadian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan