Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Perak Harap Permohonan Naik Taraf JRTB Dimasukkan Dalam RMK13

21/06/2025 04:56 PM

IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri berharap permohonan bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dengan Jeli di Kelantan akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata hasrat itu telah disampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lumut minggu lepas dengan Kerajaan Persekutuan amat memahami keperluan berkenaan.

"Paling penting perlu lihat semula jajaran dan pelebaran JRTB kerana naik taraf bukan setakat tampal jalan (berlubang) tetapi lebih kepada untuk membina semula kerana struktur yang ada sudah lama.

"JRTB sudah berusia lebih 40 tahun, jika hanya ditampal, ia mungkin tidak mencukupi. Namun, kerajaan negeri amat memahami peruntukan besar diperlukan jika mahu membina jajaran baharu atau membina semula laluan sedia ada," katanya kepada pemberita selepas menutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini. 

Saarani berkata kerajaan negeri juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan untuk menyiapkan laporan cadangan menaik taraf JRTB serta Hospital Gerik.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menaik taraf Hospital Gerik memandangkan mangsa kemalangan biasanya perlu dibawa ke Hospital Taiping atau Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan. 

"Jika ada kelengkapan serta kepakaran yang mencukupi, memadai mangsa dirawat di Hospital Gerik. Jadi, setelah hasil kajian berkenaan siap, kita akan tulis surat kepada kementerian berkenaan," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan