Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, ASEAN Usul Rombakan Kuasa Veto Negara P5 PBB – Mohamad Hasan

21/07/2025 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN sedang mengusulkan reformasi terhadap kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap (P5) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata meskipun resolusi berkaitan isu Gaza diluluskan dengan sokongan majoriti dalam Perhimpunan Agung PBB, pelaksanaannya sering kali terbantut akibat penggunaan kuasa veto oleh negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang terdiri daripada China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

"Malangnya, kuasa veto ini telah digunakan walaupun resolusi telah diluluskan secara sebulat suara pada Perhimpunan Agung PBB. 

“Sebab itu kita sedang mengusulkan agar kuasa veto ini diadakan rombakan dan perubahan. Langkah ini yang sedang kita lakukan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai tindakan lanjut Wisma Putra susulan resolusi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) baru-baru ini yang menyentuh kekejaman rejim Zionis.

Mengulas lanjut, beliau berkata Sidang Kemuncak ASEAN-GCC itu menandakan kejayaan diplomasi Malaysia apabila buat kali pertama kenyataan bersama dapat dikeluarkan berhubung isu Gaza.

“Sebelum ini, nak dapat kenyataan bersama dalam kalangan negara ASEAN pun sukar. Tetapi, kini kita sudah berjaya melaksanakannya, termasuk mengadakan sidang bersama dengan Jepun dan Korea untuk membincangkan isu rakyat Gaza,” katanya.

Mohamad berkata Malaysia kini giat memperkukuh kerjasama dengan negara-negara yang sehaluan bagi menyuarakan pendirian berhubung isu Gaza secara konsisten pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan