Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Johari Terima Kunjungan Ketua MPR Indonesia, Ahmad Muzani

21/07/2025 08:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menerima kunjungan hormat Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI) Ahmad Muzani di Bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut kenyataan Parlimen Malaysia, pertemuan itu mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua institusi Parlimen yang terus diperkukuh menerusi kerjasama serantau di bawah kerangka ASEAN.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan usaha memperkasa diplomasi Parlimen sebagai wadah penting mempererat hubungan rakyat serta memperkukuh kemakmuran serantau,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan berkenaan turut menjadi landasan awal ke arah jalinan kerjasama yang lebih erat menjelang Malaysia mengambil alih kepimpinan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN ke-46 (AIPA), yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 22 September ini.

Dalam sesi itu, Johari turut menyuarakan harapan agar kedua-dua Parlimen dapat berganding bahu memperkasakan kepimpinan belia ASEAN melalui program pertukaran dan inisiatif rentas sempadan ke arah melahirkan pemimpin muda yang bersedia menghadapi cabaran global.

Ahmad Muzani pula memaklumkan perkembangan terbaharu mengenai pembinaan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan, yang disambut baik oleh Johari.

Johari menyatakan keyakinan bahawa projek berkenaan bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bukan sahaja kepada Indonesia, malah turut membuka ruang kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan