Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penjawat Awam Perlu Kekal Berkecuali, Tidak Sertai Perhimpunan - CUEPACS

21/07/2025 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Penjawat awam perlu kekal berkecuali dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej serta kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam, demikian menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). 

Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat berkata penjawat awam perlu kekal fokus terhadap tanggungjawab utama mereka iaitu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa dipengaruhi oleh sebarang agenda yang boleh menjejaskan integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.

“Penjawat awam adalah tunjang kepada kestabilan pentadbiran negara dan perlu sentiasa menunjukkan sikap profesional, berintegriti serta memelihara tatasusila dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai jentera pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam perlu mendukung sepenuhnya prinsip Rukun Negara terutama Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan nasional.

Adnan berkata sebarang tindakan yang menyimpang daripada prinsip ini bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam malah boleh mengganggu kelangsungan sistem pentadbiran negara.

“CUEPACS menyeru semua penjawat awam supaya kekal fokus kepada amanah yang telah diberikan dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau aktiviti yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata rakyat,” katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam agar tidak menyertai acara perhimpunan yang dijadual berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Beliau berkata tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan