Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pengumuman PM Anwar Cerminan Keprihatinan Berterusan Kerajaan Madani - Ramanan

23/07/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan keprihatinan mendalam Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang politik.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata ia juga bukti bahawa hasil kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat secara adil dan berhemah.

“Saya percaya semua langkah ini bukan kebetulan. Ia lahir daripada falsafah pentadbiran MADANI yang berteraskan ihsan, kesederhanaan dan keberanian, serta berpaksikan integriti, kejujuran dan kebijaksanaan dalam menangani cabaran pascapandemik serta suasana ekonomi global yang mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara yang diumumkan Perdana Menteri termasuk pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan harga subsidi RON95 lebih rendah pada harga RM1.99 seliter serta pengisytiharan 15 Sept sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini, turut diumumkan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata insentif RM100 sekali beri yang melibatkan peruntukan RM2 bilion membuktikan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan serta dilaksanakan secara digital, telus, tanpa birokrasi dan tanpa syarat rumit.

Selain itu, beliau berkata pengumuman hari kelepasan am itu akan merancakkan sektor pelancongan domestik khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi nadi ekonomi tempatan dan membawa impak ekonomi yang besar.

Penambahan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI yang ditingkatkan kepada RM600 juta tahun ini dan merangkumi 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga mampu milik.

Pada masa sama, beliau berkata keputusan kerajaan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama, walaupun termeterai dalam perjanjian konsesi terdahulu turut membuktikan keberanian dan keazaman dalam membela rakyat.

“Sebagai Ahli Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan, saya menyaksikan sendiri bagaimana dasar dan keputusan kerajaan digubal melalui perbincangan telus, berpandukan data dan matlamat tunggal iaitu demi rakyat.

“Negara ini kini dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat yang bukan sahaja berjiwa rakyat tetapi berani membuat keputusan besar demi kebaikan bersama,” katanya.

Ramanan turut menyeru rakyat untuk menghargai, menyokong dan menyambut baik segala usaha murni kerajaan,  serta terus menghayati semangat kemerdekaan dan perpaduan dalam kerangka Malaysia MADANI yang inklusif dan progresif.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan