KOTA BHARU, 10 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 32 motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson menyemarakkan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Kelantan.
Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Muhd Aswadi Md Nor, berkata konvoi itu membabitkan penyertaan Kelab Harley-Davidson Negeri Kelantan serta 67 kenderaan daripada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Konvoi ini bermula di Kolej Komuniti Jeli, melalui Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu dan berakhir di Machang sebelum diserahkan kepada konvoi KMJG negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelepasan konvoi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) di sini, hari ini.
Beliau berkata KMJG 2025 di Kelantan berlangsung dengan penuh semangat patriotik hasil penyertaan padu pelbagai agensi dan lapisan masyarakat.
“KMJG 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, selaras dengan gagasan kepimpinan negara berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan sosial dan keadilan,” katanya.
Menurut beliau, konvoi itu turut mengetengahkan pelbagai pengisian termasuk penyerahan Jalur Gemilang kepada ketua jabatan, nyanyian lagu patriotik, pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan, perarakan pakaian tradisional Melayu serta deklamasi sajak.
“Kita juga melibatkan pelajar sekolah dan kolej komuniti bagi menyemarakkan lagi konvoi pada tahun ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial