Ad Banner
 AM > BERITA

PLKN Perlu Diteruskan, Bentuk Generasi Berdisiplin Dan Berjiwa Patriotik - Mohamed Khaled

20/08/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteruskan sebagai satu intervensi strategik dalam membentuk generasi muda Malaysia yang berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran dunia semasa.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu bukan sekadar latihan fizikal sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang negara untuk memupuk semangat kenegaraan dan kesedaran pertahanan dalam kalangan belia.

“Dalam dunia yang semakin kompleks, pemupukan nilai kenegaraan dan kesedaran pertahanan adalah asas penting untuk memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Namun, kajian Indeks Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia bagi 2015 hingga 2019 menunjukkan kemerosotan skor dalam domain identiti belia yang merangkumi patriotisme, kesukarelawanan dan juga perpaduan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap cadangan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) agar PLKN 3.0 dibatalkan dan segala peruntukan untuk program itu dipindahkan kepada kementerian lain.

Mohamed Khaled berkata sejak pelaksanaan semula PLKN 3.0, seramai 40 pelatih menyertai latihan parajurit muda manakala 148 pelatih menyertai askar wataniah, dengan angka tersebut dijangka terus meningkat seiring dengan pelaksanaan PLKN 3.0 secara lebih meluas mulai tahun depan.

Ad Banner

“Negara seharusnya membentuk satu kelompok dalam masyarakat yang benar-benar memahami soal keselamatan dan pertahanan negara, bukan sekadar mengetahui secara umum,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan komited memperkasakan keupayaan pertahanan di Sabah termasuk perancangan pemasangan radar pertahanan udara jarak jauh di Pulau Layang-Layang dan Tawau bagi liputan 360 darjah untuk meningkatkan keupayaan pengesanan serta pengoperasian lapan unit radar Sistem Pemantauan Pesisir (CSS) untuk memantau perairan.

“Pengukuhan penguasaan negara ruang udara Sabah akan diperkasakan lagi dengan perolehan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) ANKA, pesawat LCA FA-50 serta Pesawat Peronda Maritim (MPA), ini semua akan diletakkan di Sabah.

“ATM (Angkatan Tentera Malaysia) juga sedang merancang perolehan tambahan empat unit radar CSS bagi mengukuhkan lagi pengawasan perairan wilayah tersebut,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata sebahagian daripada Kapal Misi Pesisir (LMS) dan Kapal Tempur Pesisir (LSC) juga akan ditempatkan di Sabah sebaik sahaja diterima kelak, selain rancangan menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dengan satu pangkalan operasi hadapan (FOB) yang mobile sebagai kesinambungan kepada pengukuhan operasi keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Mengenai status semasa cadangan pembelian pesawat Hornet FA-18 terpakai dari Kuwait, beliau berkata perbicangan sudah dilaksana dan dimaklumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak ada halangan Kuwait menjual pesawat mereka kepada Malaysia. 

Beliau berkata beberapa proses perlu dilalui antaranya penilaian oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia pada bulan depan daripada segi kesediaan, kekurangan serta keperluan untuk mempertingkat pesawat terbabit selain kos belian dan kos tambahan lain.

Mohamed Khaled berkata meskipun terdapat persetujuan daripada AS, penghantaran atau penerimaan pesawat terbabit hanya akan berlaku apabila Kuwait menerima jet-jet tambahan baharu daripada AS.

“Jika proses ini mengambil masa lama, kementerian akan menimbangkan untuk memastikan kesemua 18 pesawat Sukhoi mampu beroperasi sepenuhnya menjelang 2030... kedua, ia juga bermakna kita sudah boleh menimbang untuk memikirkan perolehan jet-jet baharu 5G (generasi kelima) sama ada daripada Perancis, AS atau Rusia, yang keputusan dan penilaian akan ambil masa yang panjang.

“Keputusannya mungkin hanya pada tahun 2033 atau 2034 kerana jangkaan kita, kita nak menggantikan semua pesawat dengan pesawat baharu menjelang 2040,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan