Ad Banner
 AM > BERITA

APMM Pulau Pinang Teliti Cadangan Tapak Jeti Di SPCT

20/08/2025 07:20 PM

GEORGE TOWN, 20 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang sedang menilai tapak baharu jeti yang akan disewa bagi tujuan operasi dan penempatan aset, kata Pengarahnya Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Beliau berkata lokasi yang strategik amat penting bagi memperkukuh keupayaan melaksanakan tugas penguatkuasaan, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) serta perlindungan sumber maritim negara.

“Maritim Malaysia sentiasa menitikberatkan aspek kesiapsiagaan dan keberkesanan aset agar tugasan dapat dijalankan dengan optimum demi keselamatan perairan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Pengarah Operasi Negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain serta beberapa pegawai kanan mengadakan lawatan penilaian ke tapak yang dicadangkan di Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini.

Lawatan itu turut disertai wakil Penang Port Sdn Bhd dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memberikan pandangan teknikal serta sokongan logistik bagi memastikan tapak dicadangkan memenuhi keperluan operasi.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Suffi berkata pihaknya turut mengadakan lawatan kerja bersama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) baru-baru ini.

Ad Banner

Beliau berkata dalam lawatan itu, Mohd Hashim memberikan taklimat keselamatan sebelum delegasi menaiki bot peronda Maritim Malaysia bagi menjalankan pemeriksaan bawah air dan tinjauan di kawasan struktur utama jambatan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan