Ad Banner
 AM > BERITA

AFR: 10 Kapal Perang ASEAN Lintasi Selat Utara, Rakyat Pesona Dengan Tradisi Tentera Laut

21/08/2025 04:17 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di Pulau Pinang hari ini sekali lagi menjadi pentas bagi perbarisan armada ASEAN Fleet Review (AFR) 2025, mencipta sejarah tersendiri dalam tradisi tentera laut serantau.

Acara itu diadakan sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, melibatkan 10 kapal – tujuh kapal perang tentera laut serantau dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebanyak lima kapal memulakan kumpulan pertama perbarisan dalam formasi garisan lurus, didahului aset TLDM KD Lekiu, yang dibina di Scotland dan ditauliahkan pada 9 Okt 1999.

Berpangkalan di Lumut, Perak, kapal ini dikendalikan oleh 164 pegawai dan anggota, diketuai Kapten Mahamad Nazir Darus.

Mengiringi KD Lekiu ialah KBD Darulaman dari Brunei, KRI Bung Tomo (Indonesia), UMS King Sin Phyu Shin (Myanmar) dan BRP Antonio Luna (Filipina).

Kumpulan kedua perbarisan diketuai KD Lekir, diikuti kapal perang dari Singapura (RSS Vigour), Thailand (HTMS Krabi), Vietnam (VPNS Quang Trang) dan diakhiri dengan KD Kedah.

Ad Banner

Selepas lintasan kapal, tetamu dijamu dengan acara fly-past oleh empat aset udara TLDM iaitu AW139, Super Lynx Mk 100 dan dua AS55 Fennec.

Acara selama kira-kira 50 minit itu turut dapat disaksikan rakyat Pulau Pinang berhampiran Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan Padang Kota Lama.

Tinjauan Bernama di Padang Kota Lama mendapati orang ramai, termasuk pelancong asing, tidak melepaskan peluang menyaksikan perbarisan kapal-kapal ASEAN serta merakam gambar kenang-kenangan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin, berkata AFR merupakan kemuncak aktiviti sepanjang seminggu acara ketenteraan maritim terbesar di Pulau Pinang.

“Semua kapal TLDM dan negara ASEAN membuat perlayaran dalam bentuk formasi di Selat Utara dan boleh disaksikan oleh semua rakyat Pulau Pinang dari Butterworth dan George Town,” katanya.

Acara tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib yang turut menerima tabik hormat daripada setiap kapal dan dihadiri ketua-ketua tentera laut ASEAN, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail serta Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM bermula 15 Ogos sehingga esok, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

AFR meruapakan antara acara disamping ANCM ke-19 dan Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga yang telah berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi.

Selain itu, turut diadakan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) dan ASEAN Navies' City Parade (ANCP) yang mengimbau International Royal Fleet Review (IRFR) 1990 dengan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan