BERITA PRU15   PH tidak letak syarat bentuk kerajaan negeri - Wan Rosdy | PRU15 Padang Serai: Calon BN teruskan kempen | DUN Tioman: Masyarakat Orang Asli harap masalah air diselesaikan | DUN Tioman: Calon BN bertemu calon PH, bincang strategi kempen | Calon PN Padang Serai beri keterangan kepada polis berhubung kenyataan ‘kerajaan zina’ | 
AM

“Temaniku”, lagu tema Mechamato raih 8,000 putaran di platform muzik penstriman

25/11/2022 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Lagu “Temaniku” yang merupakan tema filem animasi Mechamato keluaran Animonsta Studios Sdn Bhd (Monsta) meraih 8,000 putaran di beberapa platform muzik penstriman. 

Menurut Monsta lagu tema filem berkenaan dendangan penyanyi dan penulis lagu popular Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin atau lebih dikenali sebagai Yonnyboii, dilancarkan pada 18 Nov lepas di semua platform muzik penstriman seperti Spotify, JOOX, Apple Music, KKBOX, Deezer dan iTunes Store.

Monsta memaklumkan, Ketua Pegawai Operasi Monsta Kee Yong Pin meluahkan rasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan seorang penyanyi berpengaruh yang mampu menyelami citarasa generasi muda masa kini. 

“Kebersamaan dalam mencapai satu matlamat, itu adalah mesej terbesar dan bahan inspirasi untuk lagu tema ini. Sama ada ia adalah keutuhan perhubungan sesama sahabat, keluarga, pasukan atau teman istimewa, lagu ini mempunyai mesej yang sesuai untuk semua,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ia juga memaklumkan lagu berkenaan turut dicipta bersama komposer Fitri Zain dan diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dan Monsta. 

“Saksikan juga lirik video ‘Temaniku’ di Monsta YouTube Channel. Nantikan tayangan Mechamato Movie terbitan Monsta dan Astro Shaw di pawagam seluruh negara mulai 8 Dis,” menurut kenyataan itu. 

Dalam kenyataan sama, Monsta turut memaklumkan yang  lagu Temaniku itu merupakan lagu original yang ketiga diterbitkan bersama oleh Monsta bagi filem mereka selepas lagu ‘Fire & Water’ nyanyian Faizal Tahir daripada filem BoBoiBoy Movie 2 (2019) dan ‘Masih Di Sini’ nyanyian Bunkface daripada filem BoBoiBoy The Movie (2016). 

“Mechamato Movie adalah filem ketiga dalam francais animasi 3D Monsta Heroes yang dihasilkan Monsta sejak sedekad lalu,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan