AM

LAGU RAYA DIIRINGI MUZIK URUMI TAMBAT HATI RAKYAT MALAYSIA

17/04/2024 10:44 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 17 April (Bernama) -- Sekadar mahu meredakan ‘ketegangan perkauman’ di media sosial, sekumpulan anak muda dari Kumpulan Sai Naga Urumi Melam, tampil mencipta kelainan dengan mendendangkan lagu Suasana Hari Raya dan Seloka Hari Raya, menerusi rentak gendang ‘urumi’.

Tidak disangka percubaan pertama yang dihasilkan menerusi dua video TikTok itu, berjaya menambat hati rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu, yang baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri sehinggakan ada yang mahu mendapatkan khidmat mereka bagi majlis rumah terbuka.

Bercakap kepada Bernama, pemain ‘thavil’ (gendang) dalam video berkenaan M. Logeswaran, 22, berkata idea menghasilkan video itu timbul setelah melihat isu sensitif melibatkan agama, kaum dan institusi raja (3R) semakin menjadi-jadi di laman sosial.

“Jadi Kumpulan Sai Naga Urumi Melam fikir, kita kena buat sesuatu sebab bosan tengok berita provokatif hari-hari, dengan Hari Raya dah dekat, kami fikir bahawa muzik boleh hubungkan kita semua,” katanya.

Urumi atau urumi melam, merupakan seni pergendangan India yang menggunakan lebih daripada satu gendang dan melibatkan sekurang-kurangnya lima orang atau lebih, untuk menghasilkan kombinasi dan alunan muzik yang kuat.

Ia biasanya dipersembahkan di kuil sebagai muzik sampingan bagi upacara keagamaan, adat perkahwinan atau meraikan sesuatu sambutan tradisional dan antara peralatan yang digunakan ialah ‘thavil’, ‘urumi’, ‘pambai’ dan ‘thalam’.

Logeswaran yang berasal dari Kajang berkata biarpun video tersebut hanya berdurasi lebih seminit, namun proses rakamannya amat panjang sehinggakan memakan masa lebih lima jam.

“Kami mula rakaman pada 2 pagi, tak ingat berapa kali kami mencuba untuk mendapatkan hasilnya, ada kala penyanyinya N.Lachman terlepas lirik, ada yang terlepas rentak muzik, ada bunyi deruman kereta yang memerlukan kami ulang proses rakaman, tapi hasilnya kini berbaloi,” jelas pemuda itu.

Sehingga kini, dua video tersebut telah tular di pelbagai platform media sosial melibatkan lebih 30,000 perkongsian dan menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat berbilang kaum, tidak ketinggalan ramai yang meninggalkan komen membina dan positif buat usaha anak-anak muda berkenaan.

Pengguna Facebook Norma Ab Talib berkata “Terima kasih adik-adik semua. Usaha yang baik untuk memupuk semangat perpaduan, sangat menghargainya. Kita semua rakyat Malaysia”.

Seorang pengguna TikTok mohammadfazli282 berkata “politik biarkan dengan politik, kita semua rakyat Malaysia, tak kira apa bangsa dan agama, kita tetap satu Malaysia, saling hormat menghormati, terbaik bro!”.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan