AM

28,531 CALON UPKK 2023 RAIH 8A

18/04/2024 01:32 PM

PUTRAJAYA, 18 April (Bernama) -- Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperolehi A dalam kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan itu.

Mata pelajaran terbabit ialah Al-Quran, Ulum Syariah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Lughatul Quran, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata 88 peratus calon mencatat lulus keseluruhan, manakala pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan ialah 1.89 mata.

Beliau berkata kadar lulus bagi mata pelajaran Penghayatan Cara Hidup Islam ialah 85.7 peratus, diikuti Amali Solat (85.3 peratus), Al-Quran (72.9 peratus), Adab (45.34 peratus), Jawi dan Khat (41.56 peratus), Sirah (30.45 peratus), Lughatul Quran (22.7 peratus) dan Ulum Syariah mencatatkan 21.93 peratus.

“Suka saya nyatakan kemenjadian murid bukan diukur kepada jumlah bilangan A yang diperoleh tetapi melalui amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

“Harapan kami agar murid-murid yang mengikuti kelas KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain) ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang," katanya pada majlis pengumuman keputusan UPKK 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 230,587 daripada 233,776 calon yang mendaftar bagi menduduki UPPK 2023 telah hadir menduduki peperiksaan itu di 6,173 pusat peperiksaan, berbanding 234,931 calon pada 2022.

“Sepertimana peperiksaan lain, kehadiran tidak boleh dikawal. Tetapi, apa yang kita boleh buat adalah sentiasa beri kesedaran dan penekanan kepada ibu bapa melalui penyelia di negeri untuk bertindak. Kita juga kena tambah baik kaedah pendaftaran calon pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Na’im berkata keputusan boleh disemak secara dalam talian di https://semakan.islam.gov.my dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menghantar maklumat tahun peperiksaan, nombor MyKad dan angka giliran ke 15888.

Semakan boleh dibuat mulai hari ini bermula 12 tengah hari manakala slip keputusan penuh boleh diperoleh di sekolah masing-masing esok (19 April) mulai 9.30 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan