AM > BERITA

PENYAKIT HATI MASIH PREVALEN DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA

22/04/2024 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pengesanan awal merupakan antara cabaran dihadapi para doktor dalam mendiagnosis dan merawat penyakit hati di Malaysia.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepotologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway , Dr Chung Yun Chien berkata ini kerana ramai pesakit mempunyai hanya beberapa simptom sehinggalah penyakit telah berkembang, apabila intervensi mungkin tidak lagi efektif.

"Pada peringkat awal, penyakit hati berlemak biasanya tidak mempunyai simptom dan biasanya dikesan menerusi ujian darah untuk fungsi hati. Bagaimanapun ujian-ujian ini tidak dapat membezakan antara pembentukan lemak ringan dengan kerosakan parah yang lebih teruk.

"Ada yang mempunyai penyakit hati berlemak boleh mempunyai ujian darah yang normal," katanya dalam kenyataan sempena Hari Hati Sedunia yang disambut pada 19 April.

Dr Chung berkata penyakit hati berlemak berkaitan metabolik (MAFLD) kini menjadi penyakit hati paling biasa berlaku di Malaysia, dengan prevalen yang lebih tinggi 37.4 peratus pada 2018 berbanding 22.7 peratus pada 2013.

 

Selain MAFLD, penyakit berjangkit Hepatitis B dan C (HBC, HCV) juga merupakan penyebab umum kerosakan hati dalam kalangan rakyat Malaysia, dan ketiga-ketiga penyakit itu ialah punca kematian berkaitan hati paling tinggi di negara ini.

Selain terdedah kepada virus hepatitis B ketika kelahiran (ibu dijangkiti), risiko terkena penyakit hati dalam kalangan rakyat Malaysia turut termasuk aktiviti spesifik seperti membuat tatu, aktiviti seksual tanpa perlindungan, penggunaan dadah intravena (IVDU) dan pengambilan alkohol berlebihan.

Beliau menambah faktor genetik turut menjadi risiko utama jika individu mempunyai sejarah penyakit hati dalam keluarga seperti hemokromatosis, penyakit Wilson dan kekurangan alfa-1 antitripsin.

Sementara itu, Dr Chung berkata terdapat lima virus utama yang menyebabkan penyakit hepatitis berjangkit yang dirujuk sebagai A, B, C, D, and E. Setiap jenis mempunyai ciri dan cara penularan yang berbeza, namun mempunyai simptom-simptom serupa.

Virus Hepatitis A dan E, sebagai contoh, ditularkan menerusi makanan dan air tercemar, manakala Hepatitis B, C and D biasanya menjangkiti menerusi jenis rekahan kulit yang khusus sama ada menerusi suntikan atau darah atau cecair badan yang lain.

Berhubung rawatan, Dr Chung berkata vaksinasi besar-besaran untuk Hepatitis B telah diperkenalkan di banyak negara termasuk Malaysia bawah Program Imunisasi Kebangsaan iaitu semua bayi baru lahir di negara ini telah divaksin sejak 1989.

"Ini telah mengecilkan takungan jangkitan secara signifikan. Walaupun penyakit kronik berkaitan Hepatitis B akan terus berlaku saban tahun, bilangan jangkitan baharu akan menyusut susulan vaksinasi besar-besaran dalam kalangan bayi baru lahir," katanya.

Dr Chung berkata rawatan antivirus turut ditawarkan dan secara efektif mengurangkan beban jangkitan.

"Rawatan antivirus telah mengurangkan bilangan pesakit dengan sirosis hati dan kanser hati berkaitan jangkitan Hepatitis B yang kronik," katanya sambil menambah banyak kajian telah dijalankan untuk mencari agen yang boleh membasmi virus tersebut.

Dr berkata agen antivirus langsung (DAAs) yang diperkenalkan pada 2011 telah secara mendadak berjaya menurunkan kes Hepatitis C di Malaysia, memandangkan rawatan pembasmian yang sangat efektif untuk jenis hepatitis tersebut turut terdapat di negara ini.

Beliau juga menasihati orang awam supaya mengamalkan gaya hidup aktif dengan mengekalkan berat badan sihat, mengurangkan pengambilan alkohol, tidak mengambil toksin dan dadah haram, mengelak pengambilan melampau makanan tambahan serta produk herba yang tidak dikawal selia, selain mengelak tingkah laku berisiko bagi memelihara kesihatan hati.

"Jangan lupa untuk mendapatkan vaksin. Terdapat vaksin untuk Hepatitis A dan Hepatitis B. Walaupun tiada vaksin terhadap Hepatitis C, rawatan untuk jangkitan ini berjaya sejak adanya DAAs di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.)

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan