AM > BERITA

TEKUN OPTIMIS TURUNKAN KADAR TUNGGAKAN PINJAMAN KEPADA SATU DIGIT TAHUN INI - RAMANAN

22/04/2024 07:33 PM

BANGI, 22 April (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional optimis dapat menurunkan kadar tunggakan pembiayaan daripada 12.66 peratus kepada satu digit tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.

Ramanan berkata kepimpinan Pengerusi TEKUN Datuk Abdullah Sani memberi fokus untuk menurunkan kadar tunggakan berkenaan pada tahun ini dan beliau yakin sasaran itu akan dapat dicapai.

“Memang setiap hari ada (peminjam) tampil buat pembayaran, tetapi kita kena bagi masa sebab mereka masih berusaha keras selepas perniagaan mereka terjejas akibat pandemik COVID-19 pada 2020. Tahun ini juga kita sasarkan untuk turunkan jumlah peminjam tak bayar pembiayaan kepada satu digit,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya TEKUN 2024 di sini hari ini.

Pada 2 Mac lepas, Ramanan dilaporkan berkata sebanyak 137,520 peminjam Tekun Nasional mempunyai tunggakan hutang melebihi enam bulan berjumlah lebih RM1.1 bilion, dengan kadar tunggakan pembiayaan hingga Januari 2024 sebanyak 12.66 peratus di seluruh negara.

Sementara itu, merujuk kepada jumlah permohonan pembiayaan TEKUN untuk tahun ini, Ramanan berkata kira-kira 30,000 permohonan telah diterima setakat bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan