AM > BERITA

INSTITUSI PENDIDIKAN PONDOK PERLU TAMBAH NILAI KEMAHIRAN VOKASIONAL, TEKNIKAL - MOHD NA'IM

23/04/2024 11:58 AM

KOTA BHARU, 23 April (Bernama) -- Institusi Pendidikan Pondok harus ditambah nilai melalui aspek kemahiran kendiri dalam bidang vokasional dan teknikal kepada para pelajar bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja alim bahkan mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri bagi membantu serta melancarkan pengurusan pondok dan institusi pendidikan Islam.

"Keunggulan pendidikan pondok dalam melahirkan ulama yang berwibawa tentunya merupakan keutamaan pihak Kerajaan MADANI dalam menyebarkan ilmu dan hikmah kepada masyarakat Islam di negara ini.

"Di saat sesetengah pihak cuba memberikan lakaran buruk kepada agama dan umat Islam, Malaysia tampil menyerlahkan keindahan serta kesyumulan Islam, agama yang rahmah, santun serta madani yang menjulang tinggi nilai kesederhanaan serta kemanusiaan," katanya 

Teks ucapan beliau dibaca oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus pada Majlis Ijtimak Madani Ulama dan Umara 2024 di Dewan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Beliau berkata para ulama, ilmuwan, agamawan dan umara perlu berganding bahu memikirkan bagaimana menyuburkan faham wasatiyyah, hikmah dan rahmah untuk dimanifestasikan ke dalam pelbagai ruang serta peluang supaya persepsi buruk yang dikaitkan dengan Islam boleh dikikis.

"Mutakhir ini, banyak cabaran yang berlaku dan bakal berlaku selepas ini, pastinya menuntut perpaduan dan keikhlasan kita semua untuk menjaga umat Islam.

"Amat mustahak kepada para ilmuan semua untuk memperbetul salah faham sesetengah pihak berkaitan agama. Usaha-usaha menyekat fahaman melampau dan ekstrem perlu digerakkan bersama-sama dan bersepadu berlandaskan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan