AM > BERITA

MENTERI-MENTERI BESAR RAKAM TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA TRAGEDI HELIKOPTER TERHEMPAS DI LUMUT

23/04/2024 10:08 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Beberapa menteri besar hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan tragedi itu sebagai amat menyedihkan selain mendoakan keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi saat getir ketika ini.

"Hari yang amat menyedihkan buat kita semua. Takziah kepada seluruh keluarga wira-wira TLDM yang terlibat dalam tragedi kemalangan helikopter di TLDM Lumut pagi tadi.

"Ya Allah Azza Wa Jalla, Kau ampunkanlah dosa mereka, Kau angkatkanlah darjat mereka ke tahap yang tertinggi sesuai dengan pengorbanan tinggi yang mereka curahkan buat agama, bangsa dan negara," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas itu, mendoakan agar mereka yang terkorban ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula menyifatkan tragedi yang menyayat hati itu sebagai satu kehilangan yang cukup besar kepada negara dan TLDM.

“Saya bersama Kerajaan Negeri Pahang dan seluruh rakyat Pahang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengucapkan takziah turut menitipkan doa buat mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka, dipermudahkan urusan dan diberikan ketabahan buat keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengajak rakyat di negeri itu berdoa buat mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan serta mendoakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud pula, yang turut menzahirkan ucapan takziah, berharap aspek keselamatan semasa raptai perlu diberi keutamaan pada masa akan datang.

Tragedi membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) pada 9.32 pagi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan