AM > BERITA

NAHAS HELIKOPTER: JKM PERAK BERI BANTUAN KAUNSELING KEPADA KELUARGA MANGSA

24/04/2024 11:04 PM

LUMUT, 24 April (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak akan memberi sokongan kaunseling kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Lumut, semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata pihak JKM telah melawat tiga keluarga mangsa dari Perak iaitu di Selama, Lekir dan Sitiawan.

Menurutnya selain menyampaikan sumbangan daripada Tabung Bantuan Wang Segera dan sumbangan peribadi, pihaknya juga memantau situasi keluarga berkenaan.

"Cuma kita akan lihat dari segi pendekatan kepada keluarga mangsa bagaimana dan jenis sokongan intervensi yang akan kita buat selepas ini. 

"Mungkin dalam tempoh sehari dua ini kita tidak lihat kesannya kerana ia akan mengambil masa seminggu atau dua minggu dan JKM akan buat lawatan susulan terhadap setiap keluarga," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau ditemui semasa menziarahi keluarga Pegawai Waran II TMK Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi di Taman Bunga Tanjung, di Lekir di sini. 

Salbiah menambah pihaknya sedar dalam saat sukar seperti sekarang, mereka (keluarga mangsa) memerlukan orang lain untuk membantu menenangkan dan memberi sokongan kepada mereka. 

"JKM akan meneliti semua kondisi keluarga mangsa termasuk isteri atau suami dan anak-anak mereka. 

"Sudah tentu mana-mana anak-anak yang kehilangan ibu bapa akan trauma dan terkejut, sebab itu kita akan bagi masa. JKM pun akan masuk melihat kondisi anak-anak macam mana, kita perlu melihat kesesuaian," katanya. 

Dalam tragedi 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan