AM > BERITA

SMC RAIH ANUGERAH HOSPITAL TERBAIK TIGA TAHUN BERTURUT-TURUT

25/04/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) merangkul Anugerah Hospital Terbaik (Malaysia) bagi tahun ketiga berturut-turut pada Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia 2024 yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands di Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata SMC turut memenangi anugerah Inisiatif  Promosi Kesihatan Terbaik buat kali pertama bagi pendekatan pemasaran holistiknya yang mempromosikan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Semangat tinggi pasukan kami dalam penjagaan pesakit didorong oleh keinginan untuk memberikan yang terbaik dan anugerah ini sebagai bukti dedikasi tidak berbelah-bahagi mereka. Pengiktirafan daripada agensi terkemuka itu bagi tiga tahun berturut-turut bukan sahaja sebagai lambang kejayaan kami bahkan mencerminkan janji berterusan kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang.

“Anugerah ini bukan sekadar kejayaan tetapi ia batu loncatan yang mendorong kami untuk terus mendaki ke tahap lebih tinggi bagi memberi perkidmatan kesihatan yang terbaik untuk masyarkat. Kemenangan bagi 2024 ini lebih istimewa kerana tahun ini kami meraikan ulang tahun ke-25,” katanya dalam kenyataan.

Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia merupakan program anugerah yang memberi pengiktirafan terhadap hospital yang menunjukkan pencapaian luar biasa di seluruh Asia sekali gus menterjemah semula standard kecemerlangan dalam industri penjagaan kesihatan. 

Selain itu, Dr Seow berkata kemenangan itu merupakan kejayaan berganda buat SMC selepas baru-baru ini meraih penghormatan tersenarai dalam 250 hospital terkemuka dunia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 dan menjadi hospital pertama di Malaysia memasuki senarai itu.

“Hospital ini juga mendapat akreditasi daripada Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH),” katanya. 

Ditubuhkan pada 1999 , SMC merupakan hospital kuarterner swasta terbesar di Malaysia dengan 724 katil berlesen dan memiliki lebih daripada 60 bidang kepakaran.

SMC juga mempunyai 28 Pusat Kecemerlangan dan pasukan pelbagai disiplin yang disokong lebih 3,500 petugas profesional penjagaan kesihatan dan hospitaliti yang berdedikasi bagi memberikan rawatan peribadi dengan pendekatan penjagaan holistik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan