AM > BERITA

HADIRI PERKAMPUNGAN SUNNAH: ANWAR BERJIWA BESAR - PENYELIDIK

05/05/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perkampungan Sunnah Siri Ke-9 di Masjid Alwi Kangar Perlis atas jemputan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dilihat sebagai berjiwa besar dan wajar diteladani.

Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Zaid Ahmad berkata kesudian Anwar hadir ke program yang dikaitkan secara langsung dengan Mohd Asri yang amat kritis ketika menyuarakan pandangan termasuk terhadap kepimpinan Anwar sendiri juga adalah bukti sikap keterbukaan Perdana Menteri dalam soal perbezaan pendapat.

“Namun di sebalik pandangan berbeza, kritikan dan sanggahan, Anwar dilihat tidak menyimpan apa-apa perasaan negatif kepada Mohd Asri sebaliknya menerima pelawaan beliau menghadiri program Perkampungan Sunnah Siri Ke-9, baru-baru ini.

“Ini jiwa besar, sifat negarawan dan sikap keterangkuman luar biasa yang ditunjukkan oleh beliau sebagai pemimpin nombor satu negara,” katanya kepada Bernama. 

Zaid berkata Anwar juga mencatatkan sejarah sebagai Perdana Menteri pertama yang bukan sahaja menghadiri malah menyampaikan ucaptama di hadapan para ulamak, pemikir, pemimpin dan ribuan rakyat tempatan dalam program tersebut.

Katanya ketika menyingkap kisah kewarakan Khalifah Umar Abdul Aziz dan keagungan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi dalam aspek peperangan sehingga menawan Baitulmuqaddis, Anwar juga mengingatkan hadirin supaya meneladani ketegasan kedua-dua tokoh itu dalam soal tatakelola dan kebencian mereka kepada rasuah.

“Perdana Menteri Anwar meminta diterbitkan terjemahan kitab Prof Dr Taha Jabir Al-Alwani bertajuk Etika Berbeza Pendapat dalam Islam supaya mentaliti fiqh yang pantas menghukum dapat dijauhkan dan wacana segar dan berakhlak dapat disuburkan,” katanya.

Selain itu,  Zaid berkata Anwar juga menyatakan kekecewaan beliau di dalam ucaptamanya mengenai kelesuan suara pimpinan negara Islam untuk menuntut kezaliman rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin dihentikan.

“Beliau (Anwar), yang baru pulang dari menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, memperkatakan mengenai jihad beliau bersuara di hadapan kuasa besar, termasuk Presiden AS (Amerika Syarikat), Joe Biden dan Canselor Jerman Olaf Scholz mewakili dunia Islam,” katanya. 

Sementara itu, Zaid berkata dengan kehebatan pidato, kekuatan ilmu dipamer, artikulasi dan kemantapan hujah dan keluasan bidang yang disentuh, ucaptama Anwar  itu cukup memberi kesan dan memuaskan hati para hadirin.

Malah kata Zaid, ucaptama yang berkesan itu mendorong Mohd Asri memberi komentar dengan berkata: “Ucapan Anwar sangat luar biasa. Saya tidak fikir mana-mana pemimpin negara sebelum ini yang boleh bercakap seperti itu. Kami sangat berterima kasih kepada kehadiran dan keterbukaan beliau,”.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan