AM > BERITA

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON UTARA TERIMA SAMBUTAN LUAR BIASA

05/05/2024 06:07 PM

GEORGE TOWN, 5 Mei (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara melabuhkan tirai hari ini dengan mencatatkan jumlah pengunjung melebihi 200,000 orang, sekali gus melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu lebih 100,000 pengunjung.

Bertempat di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini program yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat itu berjalan lancar serta mencapai matlamatnya dalam menyebarkan maklumat setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Malah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara menerima sambutan luar biasa memandangkan jumlah pengunjung pada program itu lebih ramai berbanding Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Disember tahun lepas.

Penganjuran siri kedua Program MADANI Rakyat 2024 bermula 9 pagi hingga 10 malam itu, menghimpunkan 196 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi berkaitan dengan pelbagai program serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.

Antara menjadi tumpuan ramai adalah pemberian diskaun kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penukaran topi keledar lama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak putus-putus menerima kehadiran orang awam sepanjang tiga hari program itu berlangsung.

Jualan MADANI yang menawarkan harga barangan lebih murah juga menjadi tumpuan ramai apabila pengunjung mengambil peluang membeli pelbagai keperluan asas seperti sayur-sayuran, telur ayam, daging segar dan lain-lain.

Selain itu, penganjuran karnival kerjaya sempena Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara juga sentiasa dipenuhi orang ramai terutamanya golongan muda  berusia 18 hingga 25 tahun yang ingin mengisi kekosongan lebih 1,500 jawatan yang ditawarkan.

Pelbagai pameran aset kerajaan termasuk milik Kementerian Pertahanan dan senjata api PDRM turut menyerikan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara, selain perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada pengunjung juga disediakan.

Kelainan pada Program MADANI Rakyat 2024 kali ini adalah penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang yang diadakan bersekali dengan Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika menyampaikan ucapan, Anwar merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat menjayakan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara dengan menyifatkan sambutan program berkenaan sebagai luar biasa.

Program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Zon Timur di Pahang yang dijadualkan pada 28 hingga 30 Jun, diikuti Zon Selatan di Johor (25-27 Julai), Sarawak (27-29 Sept) dan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Okt.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan