AM > BERITA

MAIWP PERUNTUK RM30.6 JUTA UNTUK SKIM BKB DI LABUAN

05/05/2024 06:36 PM

LABUAN, 5 Mei (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan telah memperuntukkan RM30.6 juta untuk Skim Bantuan Kewangan Bulanan (BKB) yang memberi manfaat kepada 5,406 ketua keluarga setakat ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata bagi empat bulan pertama tahun ini, sebanyak RM10.7 juta telah diagihkan untuk skim itu.

Beliau berkata fokus MAIWP bukan sahaja pada pengagihan bantuan tunai tetapi juga pada menyediakan bantuan menerusi pelbagai kategori perlindungan, seperti bantuan untuk pembinaan/pembaikan perumahan, bantuan deposit sewa dan bantuan deposit pembelian rumah

"Ini adalah sebahagian usaha berterusan MAIWP untuk memastikan penerima (zakat) mempunyai tempat tinggal," katanya pada Majlis Silaturahim Aidilfitri MADANI di Medan Selera Labuan hari ini.

Beliau berkata setakat April lepas, sebanyak 26 penerima zakat di sini telah menerima bantuan bawah kategori pembinaan/pembaikan perumahan dengan jumlah bantuan RM2.1 juta diagihkan. 

Mohd Na'im berkata MAIWP menyasarkan supaya bantuan zakat yang disediakan memberi impak signifikan kepada penerima.

"Dalam hal ini, MAIWP telah mereka bentuk suatu program pembangunan penerima zakat untuk mengasah dan mengetengahkan potensi mereka.

"MAIWP tidak mahu mereka hanya bergantung pada bantuan zakat; sebaliknya, akhirnya, mereka akan menyumbang dengan menjadi pembayar zakat.

"Program berkenaan telah mula membuahkan hasil apabila usahawan bekas penerima zakat kini telah berjaya menjana pendapatan yang ketara sebagai hasil daripada program bantuan holistik dilaksanakan itu," katanya. 

Beliau turut mengetengahkan peningkatan dalam pendidikan, memaklumkan bahawa pelajar yang sebelum ini menerima bantuan kini berada dalam profesion terhormat serta menyumbang kepada masyarakat.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata MAIWP Labuan telah mengagihkan dana zakat kepada orang miskin, orang memerlukan, mualaf dan Ar-Riqab bawah Skim Bantuan Aidilfitri dalam dua fasa iaitu seminggu sebelum Ramadan dan seminggu sebelum 1 Syawal.

Bantuan RM1,000 seorang bagi persiapan sambutan hari raya itu berjumlah RM5.3 juta.

"MAIWP akan terus menambah baik perkhidmatan pengagihan zakatnya bagi membina masyarakat yang mampan, makmur, kreatif, saling menghormati dan penyayang selaras dengan visi Madani Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan