AM > BERITA

JEMAAH MENTERI, KETUA JABATAN HARUS KEMUKAKAN NAMA KAMPUNG DIWAKILI SECEPAT MUNGKIN - ANWAR

06/05/2024 12:51 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri serta ketua-ketua jabatan mengemukakan nama kampung yang mereka akan wakili secepat mungkin bagi membantu usaha menaik taraf kehidupan penduduk di kampung berkenaan, terutama golongan miskin.

Beliau berkata ini adalah cetusan idea dan pendekatan baharu yang diketengahkan, agar masalah-masalah yang telah lama membarah di kawasan-kawasan desa dapat ditangani secara bersaluran dan berkesan.

“Mereka mesti mendengar setiap masalah dan cuba selesaikan. Masalah pengangguran, keciciran, misalnya, dapat diperbetulkan dengan lebih tangkas.

“Negara yang MADANI harus bermula dari bawah dan bergerak tegak atas landasan dan jalur perubahan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM22 bilion bagi tujuan membantu orang miskin melalui pelbagai kementerian dan jabatan, bardasarkan input yang diperoleh daripada ketua kampung dan penghulu hasil perjumpaan di antara wakil-wakil jabatan dan menteri.

Beliau berkata sebaiknya ketua-ketua jabatan dan menteri mengambil kampung asal mereka dan membantu orang di kampung berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri turut menggesa penjawat awam menjaga integriti dan nama baik perkhidmatan agar tidak mencemarkan imej keseluruhan tenaga kerja sektor berkenaan.

Mengenai usaha menarik minat pelabur asing, Anwar berkata beliau akan mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan syarikat gergasi teknologi Google hari ini.

Baru-baru ini, Microsoft telah mengumumkan pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia. 

--  BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan