AM > BERITA

HAWANA 2024 DIHARAP TINGGALKAN KESAN BERPANJANGAN KEPADA LANDSKAP KEWARTAWANAN

06/05/2024 02:00 PM

Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 5 Mei (Bernama) – Hari Wartawan Nasional 2024 (HAWANA 2024) yang dijadual berlangsung di sini pada 25 hingga 27 Mei ini diharap dapat meninggalkan kesan yang bermakna bagi jangka masa panjang kepada landskap kewartawanan negara.

Penasihat Eksekutif Editorial Utusan Sarawak Kadir Dikoh dalam menyuarakan harapan itu berkata kesedaran terhadap peranan penting wartawan kepada pembinaan negara tidak seharusnya terbatas kepada tempoh sambutan semata-mata, sebaliknya ia perlu meninggalkan kesan yang kekal kepada profesion itu.

“Saya harap HAWANA boleh berbuat sesuatu bagi membawa pembaharuan kepada kewartawanan secara menyeluruh, bukan sahaja di sini (Sarawak) tapi juga di seluruh negara. Seharusnya ada program susulan, mungkin sesi antara para wartawan dengan semua jabatan kerajaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Wartawan veteran yang merupakan bekas Pengarang Bersekutu Berita Harian itu berkata kewartawanan penyiasatan merupakan salah satu aspek yang perlu ditambah baik dalam membawa pembaharuan kepada profesion itu, bagi membolehkan pengamal media menyumbang kepada bidang kewartawanan dengan lebih efektif.

“Pada masa yang sama para wartawan boleh menghantar suatu bentuk isyarat kepada pihak berkuasa untuk tidak mengelak atau terlalu berahsia apabila wartawan bertanyakan soalan. Beri kelonggaran sedikit, jangan terlalu berahsia,” katanya.

Beliau yang menyertai bidang kewartawanan sejak awal 1980-an berkata wartawan masa kini juga menghadapi cabaran untuk mengikuti perkembangan teknologi yang pesat berubah, sekali gus menuntut mereka untuk terus mengemas kini dan meningkatkan pengetahuan.

Beliau berkata kemajuan kecerdasan buatan (AI) akan menjadi hanya sebagai salah satu daripada banyak cabaran yang perlu dihadapi wartawan, tetapi akan menjadi mekanisma yang boleh membawa manfaat kepada mereka andainya mereka mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menguasainya.

“Saya mendapat tahu bahawa AI akan menjadi salah satu isu yang akan diketengahkan dalam HAWANA, ini tetapi pada masa yang sama saya berharap fakulti media atau komunikasi di universiti akan mengambil langkah lebih jauh selepas ini untuk memperkenalkan AI sebagai salah satu mata pelajaran teras mereka,”  tambahnya.

Dengan tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan," lebih 1,000 pengamal media, wakil daripada persatuan wartawan tempatan dan wakil media dari negara anggota ASEAN dijemput menghadiri HAWANA 2024 yang berfungsi sebagai platform penting bagi persaudaraan media profesional dan pakar industri untuk bertukar-tukar idea dan membentuk hubungan strategik.

Perhimpunan wartawan terbesar di Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah agensi pelaksana acara tahunan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan