AM > BERITA

UPNM AKAN TAWAR LATIHAN BERKAITAN BIDANG REL BUAT VETERAN, BAKAL PESARA TENTERA

06/05/2024 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Veteran dan bakal pesara tentera akan berpeluang menyambung kerjaya dalam bidang rel melibatkan sektor komunikasi dan keselamatan, kata Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Beliau berkata projek dengan kerjasama Asian Rail Academy Sdn Bhd itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat dengan pengambilan sebanyak 400 pesara sebelum diperluas kepada bakal pesara.

“Projek ini melatih golongan veteran bukan sahaja untuk bekerja di negara kita, tetapi juga negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Arab Saudi yang turut terlibat sama dalam sistem rel yang ada.

“Saya melihat satu potensi dalam bidang ini, namun kita tetap perlu seimbangkan semula dari segi kelayakan bagi latihan vokasional supaya mereka ini boleh laksanakan kerja yang diberi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Mardzuki mewakili UPNM menandatangani surat niat (LoI) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Rail Academy Sdn Bhd RA Thiagaraja di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Selain Rail Academy Sdn Bhd, Mardzuki bagi pihak UPNM turut menandatangani LoI dengan Cendana Auto Sdn Bhd (CASB), yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Fairuz Abd Razak bagi menjalin kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi bagi memantapkan armada kenderaan Tentera Darat.

"Pelbagai perkara boleh dilakukan seperti pertukaran maklumat dan pengetahuan bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan akademik dan latihan amali,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Mardzuki bagi pihak UPNM turut menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Huihuang International (M) Sdn Bhd, sebuah agensi yang akan bertindak selaku ejen bagi meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa UPNM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan