AM > BERITA

MALAYSIA HARAP KERJASAMA ASEAN KE ARAH TAMPIL KAWAL SELIA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA LEBIH BAIK

06/05/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota ASEAN yang lain untuk berusaha ke arah mengawal selia industri komunikasi dan multimedia dengan lebih baik dan bekerjasama rapat sebagai blok serantau, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC 2024) sulung di sini hari ini beliau berkata sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia berhasrat untuk menyemarakkan forum pimpinan ASEAN dan mecatatkan pencapaian penting.

Beliau berkata rangka kerja pengawalseliaan serantau mengenai keselamatan dalam talian dijangka memudahkan penyelarasan dan kerjasama kalangan negara anggota ASEAN dalam menangani cabaran bersama berkaitan keselamatan dalam talian, serta membina konsensus serantau mengenai komitmen ASEAN untuk menjaga persekitaran digital.

“Dengan aspirasi itu marilah kita salurkan usaha kolektif kita ke arah memupuk ASEAN yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.

"Dengan bekerjasama secara berkesan dan menerima amalan kawal selia yang inovatif, kita boleh memastikan masa depan yang lebih cerah dan terjamin untuk semua negara ASEAN," katanya.

Fahmi berkata menjelang berakhirnya Wawasan Komuniti ASEAN 2025 tahun depan, ia menuntut blok 10 negara anggota itu untuk menimbangkan apa yang ada pada dekad akan datang untuk ASEAN, bersama-sama dengan strategi dan matlamat yang akan menentukan hala tuju masa depan rantau itu.

"Bagi menangani kedua-dua cabaran dan trend semasa dan masa depan dari dalam dan luar rantau ini, kita cadangkan supaya dibangunkan satu wawasan pasca 2025 yang memberi inspirasi, inklusif dan berpandangan ke hadapan untuk Komuniti ASEAN, yang merangkumi 20 tahun akan datang," katanya.

Dalam konteks Malaysia, Fahmi berkata kerajaan telah memperkenalkan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024, satu langkah perundangan yang bertujuan untuk melindungi sempadan digital negara dan melindungi rakyatnya daripada ancaman siber yang muncul.

Beliau berkata kerajaan juga dalam peringkat akhir memuktamadkan rangka kerja kawal selia untuk platform perkhidmatan dalam talian, khususnya media sosial dan pembekal khidmat pesanan internet.

"Apabila dikawal, platform ini akan dikehendaki mematuhi undang-undang Malaysia dan dijangka mematuhi keperluan tertentu. Ia termasuk keperluan untuk melindungi individu muda dengan mencadangkan sekatan penggunaan media sosial bagi mereka yang berumur di bawah 13 tahun," katanya.

Beliau berkata pada masa yang sama kerajaan giat merangka undang-undang untuk menangani keselamatan dalam talian termasuk penipuan dan penipuan dalam talian, kesalahan berkaitan seksual dan ucapan kebencian, di samping memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan keselamatan dalam talian melalui pembangunan Portal AI.

Mengenai IRC 2024, Fahmi berkata input pengawal selia dan pakar perkara berkenaan pada persidangan ini adalah penting untuk memastikan sektor komunikasi dan multimedia terus berkembang maju dan membentuk masa depan dengan ekosistem digital kekal sebagai penggerak untuk ketersambungan dan inovasi.

Pada sidang media kemudian, Fahmi berkata melalui persidangan itu Malaysia boleh mempelajari  mengenai masalah dihadapi negara lain dan aspek kawal selia yang dilaksanakan.

"Harapan saya dengan adanya IRC ini, pertama kita dapat laksanakan secara berkala. Kedua hasil daripada perbincangan ini mungkin ada beberapa langkah atau strategi yang kita boleh teliti sekiranya bersesuaian dengan keadaan di Malaysia, boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi juga akan melihat kesesuaian sama ada IRC boleh dicadangkan kepada Sekretariat ASEAN untuk dimasukkan dalam kalendar acara tahun depan apabila Malaysia mengambil alih kepengerusian blok serantau itu.

"Bagi Kementerian Komunikasi, memang kita telah cadangkan sejumlah acara melibatkan agensi kita termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Finas, Bernama dan lain-lain.

"Di peringkat ASEAN ada forum tertentu yang mengumpulkan badan kawal selia, menteri yang menguruskan isu penerangan dan digital... jadi saya minta pihak kementerian teliti hasil IRC 2024 dan kesesuaian untuk kita masukkan dalam kalendar ASEAN," katanya.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Kopmunikasi dan Multimedia (MCMC) Tan Sri Mohamed Salim Fateh Din.

IRC 2024 anjuran MCMC menghimpunkan pakar komunikasi dan multimedia, termasuk pengawal selia dan penggubal dasar, dari negara-negara ASEAN, Korea Selatan, Australia dan United Kingdom.

Seramai 800 peserta menghadiri persidangan dua hari itu dengan tema 'Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Untuk Masa Depan Mampan' yang membincangkan pelbagai inovasi, teknologi baru muncul, rangka kerja kawal selia dan pendekatan dalam lingkungan industri komunikasi dan multimedia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan