AM > BERITA

PM ANWAR MAHU IMIGRESEN BERGERAK SEBAGAI SATU PASUKAN MANTAP

06/05/2024 04:16 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jabatan Imigresen (JIM) bergerak sebagai satu pasukan yang mantap dengan niat ikhlas untuk membawa perubahan serta menghentikan amalan tidak wajar dan sesuai dengan konsep negara MADANI.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata warga Imigresen yang menjalankan tanggungjawab dengan baik perlu bersama-sama mendukung dan membetulkan kesilapan dilakukan sebahagian kecil kakitangan sehingga menyebabkan tercalarnya imej baik yang sedang diusahakan oleh jabatan berkenaan.

“Saya ucap terima kasih kepada seluruh keluarga Imigresen, kerana saya tahu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh memang sedang berusaha bersama dengan keluarga Imigresen mengambil langkah yang perlu memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kelemahan ini (ada) di semua (jabatan). Di Jemaah Menteri saya selalu tegur menteri-menteri bahawa harapan menggunung, kerana kerajaan ini kerajaan pembaharuan, kerajaan reform, kerajaan MADANI yang harus ada anjakan dan tak boleh kekal macam dulu,” katanya semasa berucap pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Sambutan Hari raya Aidilfitri MADANI Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Turut hadir isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Ruslin.

Beliau berkata warga Imigresen perlu mengambil teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan sentiasa komited memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Anwar berkata beliau sedar ada sekolompok kecil dalam pasukan Imigresen yang melakukan kesilapan, namun menegaskan ia tidak mewakili keseluruhan jabatan itu.

Mengambil contoh peningkatan jumlah pelancong ke dalam negara dalam tempoh beberapa bulan, beliau berkata jika kerajaan tidak cekap mengendalikan situasi itu, ia adalah masalah bagi negara.

“Jadi sebab itu saya kadang-kadang menegur dan menggesa, lagi tinggi jawatan dia.. ketua pengarah, lagi teruk dia kena. Saya pun kena juga sebab bila orang tengok perdana menteri bercakap soal reform, kecekapan, tapi bila datang ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), kena tunggu dua jam, jadi saya anggap ini sebagai cabaran,” katanya.

Anwar berkata beliau bersama barisan jemaah menteri yang lain juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyelamatkan negara walaupun sering dikritrik oleh pihak-pihak tertentu.

“Jadi saya nak saudara-saudara faham ini, jangan tengok saya asyik marah - tidak. Bukan maksud kita, tapi kita nak perbaiki. Saya anggap kami (Jemaah Menteri) sebagai satu pasukan walau parti lain-lain, ada UMNO, DAP, PKR, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, tapi saya tak fikir mereka mewakili parti-parti di luar... tetapi dalam kerajaan.. kita satu pasukan,” katanya.

Sementara itu semasa berucap pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri MADANI Jabatan Imigresen di sini hari ini, Perdana Menteri menegaskan keputusan kerajaan menaikkan gaji penjawat awam bukan bertujuan untuk mengambil hati mereka, tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan kerajaan.

Beliau berkata sebagai ‘bapa’ dalam satu ‘keluarga besar’, sudah menjadi tanggungjawabnya mengiktiraf sumbangan yang diberi ‘anak buahnya’ (penjawat awam) dalam bentuk yang sesuai.

“Saya ‘bapa’ dalam kerajaan, saudara-saudara ini anak buah saya yang kerja dan saya pula bapa yang tegas, .. (saya) minta supaya kerja, sumbangan dan prestasi lebih.

“Jadi kalau minta semua lebih, tak kan lah tak boleh bagi pertimbangan untuk iktiraf sumbangan mereka dan beri layanan supaya keluarga dia tidak tertekan (dengan kos sara hidup), itu sahaja yang saya lakukan,” katanya.

Anwar turut menempelak sesetengah pihak yang berkata kenaikan yang diumum beliau pada 1 Mei lepas, iaitu lebih 13 peratus adalah tinggi, sebaliknya beliau berkata ia adalah setimpal dengan tanggungjawab dan tekanan yang dihadapi penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan dan prestasi yang terbaik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan