AM > BERITA

LEBIH 200 PENEROKA FELDA CHIKU 3, FELDA ARING 1 TERIMA HAK MILIK TANAH

06/05/2024 05:53 PM

GUA MUSANG, 6 Mei (Bernama) -- Penantian sekumpulan peneroka tanah rancangan Felda di daerah ini selama lebih 40 tahun akhirnya berhasil apabila menerima geran tanah dan lot rumah masing-masing, hari ini. 

Penyerahan hasil kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan itu, melibatkan 254 daripada 758 hak milik tanah yang melayakkan setiap peneroka menerima 4.047 hektar tanah kebun dan kira-kira 0.1 hektar tapak rumah di kawasan Felda Chiku 3 dan Felda Aring 1, di sini.  

Peneroka Felda Chiku 3, Aziz Abdullah, 67, berkata dia bersyukur kerana impian untuk melihat dan memegang surat hak milik tanah yang diusahakannya selama ini tercapai.

“Penyerahan geran hari ini amat menggembirakan kerana saya telah menantikan saat ini lebih 40 tahun.

“Alhamdulillah, hari ini saya telah mendapat hak milik tanah untuk kebun kelapa sawit dan getah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Jajahan Gua Musang yang disampaikan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Felda Chiku 3 hari ini. 

Peneroka, Mat Yusof Mat Yaziz, 82, pula berkata pemberian geran tanah itu amat bermakna buatnya yang mula mengerjakan tanah tersebut sejak 1983. 

“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan ketika menerima surat penyerahan hak milik ini, rasa gembira, sebak dan terharu bercampur-baur. Terima kasih kepada pihak Felda dan kerajaan negeri yang akhirnya memenuhi hasrat kami untuk memiliki geran tanah ini,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Nassuruddin dalam ucapannya menasihatkan penerima agar tidak menjual dan menggadaikan tanah yang diberi sebaliknya menjadikannya sebagai warisan untuk generasi akan datang. 

Beliau turut menasihatkan peneroka agar tidak bersengketa disebabkan tanah, selain pada masa sama tidak mengambil dan mengerjakan tanah milik peneroka lain. 

“Pihak kami akan membatalkan hak milik tanah ini sekiranya didapati ada peneroka yang menjual atau menggadai tanah yang diberi. 

“Kalau kita tidak boleh mendapatkan (tanah) yang baharu untuk anak cucu maka kekalkan aset yang sedia ada ini,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan