AM > BERITA

DSA, NATSEC PLATFORM TERBAIK PERTUKARAN MAKLUMAT PERALATAN BAHARU TEKNOLOGI TINGGI - KPN

06/05/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 sebagai platform terbaik pertukaran maklumat berhubung peralatan pertahanan berteknologi tinggi dari pelbagai negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata selaras dengan perkembangan jenayah rentas sempadan, Malaysia tidak boleh ketinggalan untuk memperoleh peralatan dengan penggunaan teknologi terutamanya melibatkan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkukuh kawalan sempadan negara.

"Setiap dua tahun pameran ini diadakan dan (ini) menunjukkan perkembangan baik dari segi peralatan (pertahanan) baharu terutama melibatkan siber dan AI, yang diperlukan sebagai contoh dalam memperoleh data dan membuat analisis. 

"... ini mustahak dan Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam aspek ini," katanya kepada Bernama di pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di sini hari ini.

Mengulas penglibatan PDRM pada pameran berkenaan, Razarudin berkata pihaknya mengadakan seminar berkaitan jenayah siber dan narkotik selain pertemuan dua hala dengan beberapa wakil negara termasuk Brunei dan Maldives.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hingga Khamis, mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Acara dwitahunan itu yang memasuki edisi ke-18 dengan tema Building Resilient Nations For The Next Generation menerima penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara manakala 34 negara mempunyai Pavilion mereka sendiri termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan