AM > BERITA

KUSKOP PERKASA KOPERASI PELANCONGAN MENJELANG TMM 2026

06/05/2024 06:32 PM

HULU SELANGOR, 6 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan Program Jejak Koperasi Pelancongan sebagai inisiatif awal memperkasa koperasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata pakej itu yang akan dilancarkan di Sepang pada Khamis depan antaranya melibatkan penyediaan sejumlah peruntukan awal kepada koperasi dalam sektor pelancongan, penginapan dan hospitaliti termasuk produk-produk menarik.

“Biarpun TMM 2026 kira-kira dua tahun lagi, tapi kita lancar dan mulakan inisiatif ini awal...melibatkan koperasi baik di bandar, luar bandar mahupun kampung yang mana kita rasakan produk-produk koperasi itu boleh diangkat dan dipromosikan untuk TMM.

“Dengan persiapan awal yang kita rancang ini, kita yakin dapat membantu koperasi-koperasi ini bersaing dengan pengusaha-pengusaha resort mahupun syarikat gergasi dalam industri pelancongan pada TMM 2026 nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Koperasi dan Jualan Koperasi MADANI di pekarangan Stadium Mini Kuala Kubu Baharu di sini hari ini.

Sementara itu, Ewon berkata sehingga kini sebanyak 226 Coop Mart telah dibuka di seluruh Selangor melibatkan koperasi sekolah, pengguna, institusi pengajian tinggi dan bukan pengguna.

“Perolehan direkodkan bagi koperasi fungsi pengguna, termasuk yang melaksanakan aktiviti stesen minyak sehingga 31 Disember lalu adalah RM276 juta.

“Selain itu 23 Program Jualan MADANI Koperasi di 16 kawasan Parlimen di negeri ini melibatkan 87 koperasi yang dilantik sebagai operator jualan telah merekodkan jumlah jualan sebanyak kira-kira RM2.8 juta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan