AM > BERITA

PM UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA HAIL AMIR

06/05/2024 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi dan pelakon veteran Datuk Hail Amir yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar turut mendoakan supaya keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu. 

“Mendoakan roh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi Yang Maha Esa, insya-Allah. Karya anak seni Pulau Pinang ini pastinya akan terus dikenang buat selamanya,” kata beliau. 

Terdahulu, berita pemergian Hail, 76, atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir pada 3.43 petang disahkan oleh Presiden Persatuan Seniman Malaysia Rozaidi Abdul Jamil, yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Allahyarham terkenal dengan lagu Seloka Hari Raya, Menunggu Nasi Minyak dan Antara Matamu dan Mataku, yang dinyanyikan secara duet bersama Uji Rashid. 

Bakat Hail dalam bidang seni suara dikesan oleh komposer terkenal Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular Wajah Kesayangan Hamba manakala antara filem lakonan beliau ialah Menanti Hari EsokRibut Barat dan Anita Dunia Ajaib.

Bapa kepada empat cahaya mata itu menerima darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk pada 2022 daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan