AM > BERITA

KKM BERI JAMINAN DEDAH DATA AEFI VAKSIN COVID-19 - DR DZULKEFLY

06/05/2024 07:52 PM

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan akan mendedahkan semua data berhubung kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19 pada satu waktu yang akan ditetapkan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Tanpa menyebut jangka masa muktamad, katanya ia menjadi tanggungjawab beliau selaku Menteri Kesihatan malah pernah membangkitkan di mesyuarat pasca Kabinet agar laporan AEFI didedahkan kepada umum.

“Pokoknya, kami (KKM) tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan AEFI kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

“(Ini kerana) ia (data) diminta oleh banyak pihak termasuk orang awam. Kita ada simpan (rekod) daftar mengenai AEFI, memang kita simpan satu daftar dan memang ada, bahkan semua yang dalam data, termasuk yang meninggal (dunia), kita ada simpan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat sebarang laporan mengenai kes trombosis dengan sindrom "thrombocytopenia" yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca di Malaysia, seperti dilaporkan di Indonesia semalam.   

Mengikut laporan Bernama semalam, Suruhanjaya Nasional untuk Kajian dan Pencegahan Peristiwa Mudarat Berikutan Imunisasi bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) Indonesia mengesahkan tiada laporan diterima mengenai kes trombosis dengan sindrom "thrombocytopenia'’ yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca di negara itu.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sudah menerima penjelasan daripada firma farmaseutikal AstraZeneca berhubung kesan sampingan vaksin COVID-19, beliau berkata setakat ini masih menunggu penjelasan rasmi berkenaan perkara itu.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata syarikat itu harus bertanggungjawab dengan mengemukakan penjelasan yang teliti dan telus bukan sahaja kepada Malaysia malah seluruh dunia bagi mengelak berlakunya kebimbangan awam.

Mengenai MIH Megatrends, beliau berkata persidangan tiga hari itu akan menjadi satu platform yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pemain industri kesihatan bagi berkongsi kepakaran mengenai strategi kesihatan terkini dan penyelesaian terbaik menerusi kerjasama pintar pelbagai pihak.

“ Hasil daripada Megatrends akan menjadi penting untuk memajukan sains perubatan, meningkatkan penyampaian penjagaan kesihatan, memupuk kerjasama dan menggalakkan pembelajaran berterusan dalam kalangan profesional,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara KKM dan KPJ Healthcare Berhad yang akan menjadi rakan strategik kementerian dalam menjayakan MIH Megatrends yang bakal berlangsung pada 25 hingga 27 Okt depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan