AM > BERITA

PENYELIA 'LADLE CRANE' MAUT JATUH DARI KETINGGIAN 20 METER

07/05/2024 12:47 AM

BUTTERWORTH, 6 Mei (Bernama) -- Seorang penyelia maut selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas ladle crane di sebuah kilang pembuatan di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa rakyat tempatan berusia 51 tahun sedang menyelia kerja-kerja penyelenggaraan ladle crane oleh pekerja di kilang berkenaan.  

“Sepasukan pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu. Mangsa dilaporkan maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sehubungan itu, Hairozie berkata notis pemberhentian kerja serta-merta dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Beliau berkata majikan turut diarahkan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian, langkah penambahbaikan dan membentangkan kes kepada JKKP.

Menurut beliau adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan