AM > BERITA

PANGGUNG BANGSAWAN MELAKA PLATFORM PERKASA SENI, BUDAYA TEMPATAN - AB RAUF

08/05/2024 01:10 AM

MELAKA, 7 Mei (Bernama) -- Pembukaan semula Panggung Bangsawan Melaka di Jalan Munshi Abdullah secara rasmi, yang dahulunya dikenali sebagai Cathay Cinema akan menjadi platform pemerkasaan  industri seni dan budaya tempatan warisan kaum berbilang bangsa di negara ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata setakat ini, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCorp) akan bekerjasama dengan 10 syarikat produksi bagi menganjurkan pelbagai program, acara dan persembahan sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Panggung Bangsawan Melaka bukan sahaja menjadi platform untuk anak seni beraksi, tetapi juga produk pelancongan baharu untuk menarik kedatangan lebih banyak pelancong sempena TMM 2024.

"Pelbagai persembahan telah disenaraikan mengikut jadual sepanjang tahun ini antaranya teater berkaitan sejarah Melaka dan hiburan berbentuk muzikal yang bersesuaian dengan semua zaman dan peringkat umur penonton," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran Panggung Bangsawan Melaka yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga menyeru agensi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat swasta dan perseorangan untuk menyokong dan membantu memeriahkan semula Panggung Bangsawan Melaka khususnya dari segi tajaan dan kerjasaman dengan mana-mana syarikat produksi yang berkaliber.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang memperhalusi beberapa kaedah untuk menarik penonton ke Panggung Bangsawan Melaka khususnya dari aspek pengangkutan menggunakan bot yang disediakan Melaka River Cruise di jeti panggung berkenaan selain beca.

"Kita mahu operasi Panggung Bangsawan Melaka ini turut memberi kesan ekonomi yang positif kepada penggiat pelancongan lain di negeri ini," katanya.

Panggung berkenaan mampu memuatkan hingga 392 penonton dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya penyaman udara, peralatan teknikal, sistem audio serta sistem pencahayaan canggih terkini.

Orang ramai juga boleh menikmati keindahan pemandangan di tepi Sungai Melaka sambil bersantai di bistro yang berkonsepkan moden klasik selain mendapatkan produk kraf tangan dan cenderahati yang dijual di galeri di premis itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan