AM > BERITA

PULUHAN POKOK TUMBANG DI 10 KAWASAN SEKITAR GEORGE TOWN

07/05/2024 10:58 AM

GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Puluhan pokok tumbang dan ranting patah sekurang-kurangnya di 10 kawasan di sekitar George Town ekoran hujan lebat dan angin kencang malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau sesiapa yang cedera dalam kejadian terbabit.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan sejak pukul 11 malam hingga 1 pagi, sebanyak 10 lokasi pokok tumbang dan dahan patah telah dilaporkan kepada petugas aduan hotline MBPP.

Kesemua aduan telah disalurkan serta-merta kepada Pasukan Pengurusan Bencana MBPP untuk tindakan segera dan Skuad Pantas MBPP telah berjaya menyelesaikan kerja-kerja pemulihan di kesemua lokasi berkenaan.

''Antara kawasan yang terlibat ialah Pintasan Cecil, Taman Bukit Gelugor, Jalan Bell, Park Road, Jalan Biggs, Jalan Cantonment, Jalan Sultan Ahmad Shah, Jalan Macalister dan Flat Hamna, Jalan Sungai Dua.

"Bagaimanapun, kerja-kerja di Flat Hamna, Jalan Sungai Dua terpaksa ditangguhkan sementara  waktu kerana memerlukan jentera besar serta faktor keselamatan petugas," menurut hantaran dalam Facebook MBPP hari ini.

Majlis bandar raya itu memaklumkan pasukan Skuad Pantas MBPP sentiasa bersedia memikul amanah melaksanakan tugas-tugas tanpa mengira waktu dan cuaca demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

MBPP turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pasukan bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut membantu menyegerakan tindakan pemulihan.

''Terima kasih juga diucapkan kepada semua orang awam yang membantu menyalurkan maklumat atau aduan kepada Hotline MBPP. Sebarang aduan mengenai pokok tumbang, tanah runtuh dan sebagainya, sila hubungi Hotline MBPP melalui talian 04-263 7000 atau 04-263 7637 dan 016-2004082 (WhatsApp)," menurut hantaran itu.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan