AM > BERITA

59 PROJEK PACU PEMBANGUNAN PESISIRAN PANTAI PORT DICKSON - MB

07/05/2024 02:02 PM

SEREMBAN, 7 Mei (Bernama) -- Sebanyak 59 projek dicadang dilaksanakan bagi memacu pembangunan pesisiran Pantai Port Dickson sekali gus menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, demikian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek menerusi Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisiran Pantai Port Dickson itu merangkumi 31 projek strategik atau berimpak tinggi, 12 projek utama dan 16 projek sokongan.

“Ia akan dilaksanakan mengikut fasa iaitu fasa satu dari 2020 hingga 2023, fasa dua (2023-2026) dan fasa tiga (2026-2030).

“RKK Pesisiran Pantai Port Dickson yang disediakan untuk tindakan pelaksanaan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) termasuk melibatkan projek berkaitan cadangan jalan, laluan kereta api dan landskap,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) yang ingin tahu status pelaksanaan RKK Persisiran Pantai Port Dickson setelah dilancarkan pada 2020.

RKK Pesisiran Pantai Port Dickson merupakan pelan perancangan pembangunan terperinci menetapkan matlamat pembangunan untuk memperkukuh peranan Port Dickson sebagai bandar pelancongan pesisiran pantai bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya juga bercadang membuka semula operasi landasan kereta api dari Seremban ke Port Dickson bagi membantu industri pengangkutan dan pelabuhan logistik di Negeri Sembilan.

Beliau menjawab soalan tambahan Choo yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mahu mengembalikan semula operasi landasan kereta api di laluan berkenaan sekali gus memberi imej baharu kepada negeri ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan