AM > BERITA

NEGERI SEMBILAN BELUM ADA PERANCANGAN BUKA KILANG PROSES NR-REE - MB

07/05/2024 02:34 PM

SEREMBAN, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan pada masa ini belum mempunyai  perancangan secara khusus untuk membuka kilang bagi memproses sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat syarikat atau pelabur luar negara yang berminat untuk membina kilang pemprosesan itu di negeri ini.

“Ia secara tidak langsung membantu membangunkan industri NR-REE di peringkat pertengahan.

“Pengeluaran NR-REE di Malaysia pada ketika ini bertumpu di peringkat huluan dan dieksport ke China secara mentah (RE Carbonate) dan di sana nanti proses pengasingan bagi setiap logam yang terkandung didalamnya dibuat bagi menghasilkan produk hiliran seperti magnet logam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis pada sesi pertanyaan lisan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi menjawab soalan Kamarol Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri berhasrat membuka kilang memproses REE.

-- LAGI

 

DEWAN-REE 2 (AKHIR) SEREMBAN

 

Aminuddin (PH-Sikamat) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah Dan Sumber Alam negeri berkata pada masa ini Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memutuskan pelaksanaan moratorium bagi aktiviti pengeksportan NR-REE sebagai inisiatif untuk membangunkan industri itu di peringkat pertengahan.

Beliau berkata pelaksanaan moratorium pengeksportan ini berkuat kuasa mulai 1 Jan lepas dan akan dinilai setiap enam bulan.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kerja Raya telah meluluskan permohonan kerajaan negeri bagi projek pembinaan lebuh raya bertingkat dari Tol Senawang ke susur keluar Lebuhraya Kajang-Seremban berhampiran Taman Tasik Jaya di sini.

"Kementerian sedang dalam peringkat pertimbangan mengenai harga tawaran kos pelaksanaan projek itu," katanya menjawab soalan P. Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) yang mahu tahu perkembangan terkini mengenai perbincangan pembinaan projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

TAG: NR-REE, kilang, Aminuddin Harun, pelabur luar, projek lebuh raya

 


SFH SFH AYU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan