AM > BERITA

DIALOG PELBAGAI AGAMA PLATFORM TERBAIK FAHAMI PERBEZAAN AGAMA

07/05/2024 03:11 PM

PETALING JAYA, 7 Mei (Bernama) -- Dialog atau forum pelbagai agama boleh menjadi satu daripada platform terbaik bagi sesebuah masyarakat untuk mewujudkan persefahaman lebih baik dalam kalangan penganut agama yang berbeza.

Presiden Global Unity Network Shah Kirit berkata dialog itu membantu mereka yang menetap di negara berbilang budaya termasuk Malaysia untuk lebih memahami perbezaan yang wujud. 

“Bagi menghormati antara satu sama lain kita perlu mempelajari dan memahami antara satu sama lain. Banyak konflik yang kita hadapi hari ini disebabkan tanggapan, prasangka, salah anggap dan salah faham, maka untuk menghapuskan ini kita perlu mengenali satu sama lain. Ilmu adalah sangat penting.

“Konflik dan isu akan sentiasa wujud tetapi dengan ilmu kita boleh menguruskannya dan sebagai ketua agama menjadi tugas serta tanggungjawab kita untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian antara rakyat,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024 di sini hari ini.

Bertemakan “Kesatuan Dalam Kepelbagaian”, persidangan itu menarik penyertaan hampir 2,000 tokoh ulama dan cendekiawan dari 57 negara.

Sementara itu, seorang pemimpin Buddha dari Kemboja Samdech Preah Buddhacariya Touch Sokvoha berkata persidangan berkenaan menyediakan platform penting untuk bertukar-tukar pandangan mengenai agama, mempromosikan keamanan, toleransi dan menghormati semua agama.

Sambil menyambut baik usaha penganjuran persidangan itu, beliau berkata perhimpunan yang menumpukan kepada nilai-nilai murni dan penting itu amat memberikan inspirasi.

“Persidangan ini menjadi bukti kepada kuasa penyatuan. Saya yakin semangat kerjasama semasa acara itu akan terus menjadi pencetus inspirasi kepada perubahan positif di peringkat dunia,” katanya.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempelawa para peserta berlainan agama untuk membaca al-Quran bagi memahami mengenai agama dan tamadun Islam.

Beliau berkata dari aspek sejarah umat Islam telah menjalani kehidupan yang aman dan harmoni bersama-sama dengan penganut agama lain sebagai contoh ketika era kegemilangan Islam semasa pemerintahan khalifah di Baghdad dan Andalusia, sama sekali berbeza dengan gambaran oleh Barat.

"Usah dengar media Barat, baca al-Quran tentang sejarah kegemilangan kerajaan Islam atau Khalifah dan saksikan apa yang Islam telah lakukan untuk masyarakat,” katanya.

Mufti itu juga menyelar prasangka Barat terhadap umat Islam yang secara signifikan menyumbang kepada ketidakharmonian dan konflik dalam dunia Islam.

Sambil menekankan kecenderungan media Barat untuk mengaitkan keganasan dengan agama dan umat Islam, beliau menegaskan bahawa kempen kebencian seperti itu perlu dihentikan.  

“Apa yang kita hadapi hari ini akibat persepsi dan agenda yang mereka tanamkan dalam fikiran kita. Selagi kita tidak menghapuskan kempen seperti ini, persepsi buruk dan negatif selagi itulah kita tidak boleh menjalani dan meneruskan kehidupan dengan aman," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan