AM > BERITA

PAMERAN NINGYŌ PERKUKUH HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA – JEPUN

07/05/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pameran NINGYŌ: Kesenian dan Kecantikan Anak Patung Jepun anjuran Muzium Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama The Japan Foundation Kuala Lumpur diharap mengukuhkan hubungan diplomatik Malaysia – Jepun yang telah terjalin selama 67 tahun.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata pameran yang berlangsung mulai hari ini hingga 8 Julai di Ruang Tengah Muzium Negara itu telah membuka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Saya ingin berterima kasih kepada Jepun kerana telah memilih negara kita bagi melakukan pameran yang merupakan perkara bermakna buat negara mereka,” katanya ketika sidang media selepas sesi tinjauan mesra pameran itu di sini hari ini.

Perkongsian strategik komprehensif itu melibatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan dan keamanan, sains, teknologi, inovasi dan persekitaran serta kemasyarakatan dan pertukaran budaya.

Ningyō bermaksud anak patung dan bentuk manusia dalam bahasa Jepun, satu budaya yang telah dipupuk sejak zaman dahulu di negara itu akan diperkenalkan melalui pameran 67 anak patung di Muzium Negara.

Sementara itu, Aaron turut merasmikan Pelepasan Kontinjen Jabatan Muzium Malaysia bersempena dengan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 13-22 Mei ini.

“Saya berharap festival ini akan dapat menyedarkan masyarakat tentang pentingnya peranan muzium dalam kehidupan dan pembangunan sosiobudaya,” katanya.

Bertemakan “Muzium untuk Pembelajaran dan Penyelidikan", Hari Muzium Antarabangsa itu diharap dapat membangkitkan pemahaman dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan institusi permuziuman dalam menjaga dan memelihara khazanah negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata Festival Hari Muzium Antarabangsa merupakan program utama di bawah Flagship Citra Nusa @ Muzium yang disokong penuh Kementerian Perpaduan Negara.

“Pelbagai program telah dirancang sepanjang penganjuran sambutan ini yang melibatkan penyertaan warga muzium sendiri serta orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan