AM > BERITA

AIA PUBLIC TAKAFUL SUMBANG RM800,000 MENERUSI PROGRAM KONGSI REZEKI

07/05/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- AIA Public Takaful Bhd (AIA Public Takaful) mengulangi komitmen untuk meningkatkan komuniti dan kesejahteraan dengan menyumbang RM800,000 untuk program ‘Kongsi Rezeki’, yang merupakan inisiatif komuniti dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Elmie Aman Najas berkata bantuan berkenaan akan disalurkan kepada 15 rumah anak yatim yang menjadi penerima manfaat program itu sepanjang tahun ini.

“Kami teruja untuk memperluas program Kongsi Rezeki ini buat tahun keempat. Kami menambah empat rumah anak yatim baharu dalam senarai penerima manfaat tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 15 rumah anak yatim,” katanya yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri AIA Public Takaful di sini hari ini.

Dilancarkan pada 2021, program Kongsi Rezeki menitikberatkan promosi kesejahteraan dan peningkatan komuniti, dengan tumpuan untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi kanak-kanak kurang bernasib baik.

Menurut Elmie sumbangan terbabit menekankan komitmen syarikat dalam memacu perubahan yang membawa kesan positif kepada komuniti yang disantuninya.

“Dana itu akan memberikan sokongan penting kepada penyediaan keperluan harian, selain keperluan lain serta meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental kanak-kanak kurang bernasib baik menerusi pelbagai aktiviti.

“Kami harap sumbangan ini memberi manfaat dalam menjamin masa depan yang lebih cerah untuk golongan berkenaan, dengan setiap kanak-kanak boleh bercita-cita, cemerlang dan maju dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Sejumlah 100 kanak-kanak dan penjaga dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah, Rumah Kasih Nurul Hasanah serta Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman dijemput menghadiri majlis berkenaan.

Menerusi beberapa fasa program, kesemua rumah anak yatim berkenaan menerima kemudahan komputer riba, katil dan tilam serta keperluan harian bernilai RM500,000, memanfaatkan lebih daripada 800 kanak-kanak dan 15 rumah anak yatim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan