AM > BERITA

LARIAN HERITAGE ALLIANCE BANK KEMBALI DENGAN LEBIH MENARIK TAHUN INI

07/05/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) bakal menganjurkan acara Larian Heritage Alliance Bank 2024 edisi kedua yang bertemakan warisan dan kelestarian pada 20 Okt di George Town, Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu memaklumkan matlamat acara itu adalah untuk meneruskan  kejayaan yang dicapai acara berkenaan pada tahun lepas yang berjaya menarik lebih 3,500 peserta sekali gus memperlihatkan komitmen Alliance Bank untuk melibatkan diri dengan masyarakat tempatan dan meraikan warisan budaya pulau itu.

“Acara Larian Heritage Alliance Bank bertepatan dengan komitmen untuk menggalakkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan komponen penting inisiatif BeESG yang bertujuan membantu perniagaan dan individu mengamalkan amalan mampan.

“ Ia juga sejajar dengan sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 11.4 ke arah memelihara dan melindungi warisan budaya dunia sambil menyokong pembangunan tempatan dan mata pencarian masyarakat di kawasan itu,” menurut kenyataan itu.

Acara larian itu menyediakan dua pilihan laluan untuk para peserta iaitu Family Walk sejauh tiga kilometer dan larian sejauh tujuh kilometer.

Acara utama akan memberikan pelbagai pengalaman menerusi lebih banyak penyertaan perniagaan tempatan melalui Bazar #SupportLocal dan pengenalan laluan baharu dalam kategori tujuh kilometer di sepanjang laluan di sekitar Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank Kellee Kam berkata acara itu merupakan sebahagian usaha berterusan bagi menjadikan bank berkenaan sebagai bank untuk masyarakat di samping mempromosikan tanggungjawab alam sekitar dan sosial.

“Larian ini juga menjadi sebahagian daripada jenama – “The Bank for Life” yang merangkumi komitmen bank untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai yang menyokong pelanggan melalui setiap fasa perjalanan kewangan mereka.

"Kami akan terus memupuk hubungan bermakna dengan komuniti untuk menawarkan lebih banyak nilai, membawa impak positif kepada komuniti dan alam sekitar," katanya.

Tiket untuk acara itu telah mula dijual bermula hari ini hingga 6 Okt di laman sesawang rasmi Larian Heritage Alliance Bank dan kadar diskaun turut ditawarkan apabila menggunakan kad Alliance Bank mereka.

Semua peserta yang berdaftar akan menerima pek perlumbaan yang terdiri beg kanvas boleh guna semula, pingat serta kemeja-T dan lanyard yang diperbuat daripada bahan boleh kitar semula. Pek perlumbaan boleh didapati bermula dari 17 hingga 19 Okt di Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan