AM > BERITA

DRON "GAZA" BUATAN IRAN JADI TUMPUAN DI DSA

07/05/2024 07:03 PM

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Replika dron buatan Iran, Shahed-149, mencuri tumpuan pengunjung di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini.

Dikenali dengan nama ‘GAZA’ sebagai menghargai perjuangan penduduk Gaza terhadap rejim Zionis, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2021 itu menyerlahkan kemajuan teknologi dan keupayaan pengeluaran senjata Iran.

Menurut pegawai yang ditemui Bernama di reruai Kementerian Pertahanan Iran di sini, UAV yang dihasilkan daripada dron Shahed 129 itu dikategorikan sebagai kenderaan beraltitud tinggi, tahan lama, mempunyai saiz dan fungsi seakan sama dengan MQ-9 Reaper Amerika. 

Shahed-149 mampu membawa sehingga 500 kilogram peranti elektronik dan 13 bom.

Dron sepanjang 10 meter, tinggi empat meter dan lebar sayap 21 meter itu juga dilengkapi dengan kuasa ketahanan lebih 24 jam, kelajuan mencecah 350 kilometer sejam dan berupaya terbang sehingga 35,000 kaki.

Ia direka semula oleh Shahed Aviation Industries dan dihasilkan oleh Iran Aircraft Manufacturing Industries Corporation (HESA).

Iran mempunyai sejarah membangunkan dan menggunakan dron untuk kegunaan ketenteraan dan pengawasan, menyaksikan negara ini telah mencapai kemajuan besar dalam teknologi serta mengeluarkan pelbagai model dengan keupayaan yang berbeza-beza sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

DSA dan NATSEC Asia 2024 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini bermula semalam hingga Khamis, mempamerkan teknologi dan aset peperangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut.

Acara dwitahunan yang memasuki dalam edisi ke-18 itu bertemakan Building Resilient Nations For The Next Generation dan telah menarik penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara, dengan 34 negara mempunyai pavilion sendiri, termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan