AM > BERITA

USAHA BERSEPADU PENTING KEKALKAN KERANGKA KESELAMATAN GLOBAL - SAIFUDDIN NASUTION

07/05/2024 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Usaha bersepadu dalam kalangan agensi pelbagai bidang penting untuk mengekalkan kerangka keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata akses Internet dan kemajuan teknologi mencetuskan ancaman baharu dan mengubah landskap keselamatan, justeru pendekatan bersepadu diperlukan untuk menangani perkara itu.

"Kejayaan bergantung pada kerjasama antara kumpulan berbeza, termasuk pihak berkuasa undang-undang, badan kerajaan, syarikat swasta dan orang awam," katanya pada sesi dialog awam yang diadakan bersempena dengan Seminar Kesedaran Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Bahan, di luar acara Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Dalam konteks Malaysia, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan penting dalam usaha mencapai matlamat mencegah jenayah siber dan penyalahgunaan bahan di negara ini, termasuk memperkukuh undang-undang dan peraturan, serta mengambil bahagian secara aktif dalam usaha penguatkuasaan.

Menurut beliau, bagi memerangi jenayah siber, Malaysia telah meluluskan undang-undang seperti Akta Jenayah Komputer 1997 yang dipinda pada 2007.

Beliau berkata di bawah akta itu, mengakses sistem komputer tanpa kebenaran, atau mengganggu perkhidmatan rangkaian ialah satu kesalahan menyalahi undang-undang.

"Polis Diraja Malaysia melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bekerjasama rapat dengan Cybersecurity Malaysia untuk menangani jenayah siber dan meningkatkan kesedaran berhubung jenayah terbabit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan