AM > BERITA

BURSA MALAYSIA CAPAI PERMODALAN PASARAN TERTINGGI LEBIH RM2 TRILION

07/05/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan rekod baharu dengan permodalan pasaran ekuiti melebihi RM2 trilion, pada Selasa.

Menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), bursa tempatan itu menjelaskan indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turut melonjak melepasi 1,600 mata pada pagi hari ini, buat pertama kali dalam tempoh dua tahun.

“Indikator di atas adalah bukti kekukuhan pasaran kita dan ekonomi Malaysia.

“Berdasarkan lebih 1,000 syarikat senaraian awam (jumlah tertinggi di rantau Asean) kami berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.

Pada 5 petang, FBM KLCI meningkat 0.52 peratus atau 8.29 mata kepada 1,605.68 daripada 1,597.39 ketika ditutup pada Isnin, sekali gus menjadi paras tertinggi bagi indeks utama sejak April 2022.

Indeks barometer yang dibuka 3.46 mata lebih tinggi kepada 1,600.85 itu bergerak di antara 1,600.66 pada sesi awal dengan setinggi 1,610.32 pada sesi petang.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing naik satu sen kepada RM9.84 dan RM4.21, CIMB menambah enam sen kepada RM6.81, Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM12.48, dan IHH Healthcare juga menokok satu sen kepada RM6.31.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan