AM > BERITA

USAH BUAT SPEKULASI STATUS KESIHATAN MUTANG TAGAL - PEJABAT YDP DEWAN NEGARA

07/05/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Semua pihak diharap tidak membuat spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung status kesihatan Yang di-Pertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). 

Pejabat Yang Di-Pertua (YDP) Dewan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebarang maklumat berhubung status kesihatan Mutang akan dimaklumkan oleh pihaknya mengikut keadaan semasa.

“Keluarga YB Senator Datuk Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman doa yang diberikan untuk beliau dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam tempoh rawatan ini,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Mutang menerima rawatan di IJN setibanya semalam dari Azerbaijan untuk lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.

Yang di-Pertua Dewan Negara itu mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 Mei sehingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.

Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Ilham Aliyev Perdana Menteri Ali Asadov dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan Sahiba Gafarova serta menghadiri mesyuarat dan taklimat oleh pemain industri di negara itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan