AM > BERITA

DUN LULUS RANG UNDANG-UNDANG PERBADANAN PERHUTANAN SARAWAK

07/05/2024 10:04 PM

KUCHING, 7 Mei (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadangan Perhutanan Sarawak yang antara lain memperhalusi, mengukuh dan menambah baik rangka kerja undang-undang bagi perlindungan dan pengurusan kawasan serta hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak.

Dibentangkan oleh Timbalan Premier yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, RUU itu diluluskan selepas tujuh Ahli DUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan

Ketika membentangkan RUU tersebut, Awang Tengah berkata RUU itu juga bagi memastikan tiada pertindihan tugas antara Jabatan Perhutanan Sarawak dan Perbadangan Perhutanan Sarawak.

“Dengan meluluskan RUU ini, ia akan mencapai objektif untuk menambah baik, mengukuh dan mempertingkatkan undang-undang berkaitan dengan perlindungan serta pengurusan kawasan dan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Sarawak selain memastikan tiada pertindihan tugas antara kedua-dua agensi kerajaan.

“Melalui penyelarasan tanggungjawab, langkah perundangan ini mampu memperkukuhkan usaha pemeliharaan alam sekitar yang berterusan selain memupuk amalan pelancongan yang bertanggungjawab seiring dengan keseimbangan alam semula jadi,” katanya.

Awang Tengah berkata pindaan itu menandakan strategi penting ke arah mengutamakan kepelbagaian biodiversiti dan warisan semula jadi Sarawak,

“Memperkasakan Perbadanan Perhutanan Sarawak dengan mandat untuk menerajui inisiatif perlindungan hidupan liar dan menyelia pemeliharaan rizab serta taman alam semula jadi ini, mengukuhkan komitmen Sarawak untuk menjaga kekayaan ekologinya,” katanya.

Beliau menambah kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mewartakan sejuta hektar kawasan tanahnya sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya menjelang 2025.

“Setakat ini, kita telah mewartakan sejumlah 2,118,249.53 hektar terdiri daripada 874,523.53 hektar tanah dan 1,243,726.00 hektar (kawasan air),” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan