AM > BERITA

103 PROJEK BEKALAN AIR PAHANG LIBATKAN KOS RM121.2 JUTA TELAH DISIAPKAN

08/05/2024 12:15 PM

KUANTAN, 8 Mei (Bernama) -- Sebanyak 103 projek pembangunan bekalan air Pahang membabitkan kos sebanyak RM121.2 juta telah disiapkan setakat ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Beliau berkata kerajaan negeri dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) juga sehingga kini mempunyai 32 projek yang sedang dalam peringkat pelaksanaan dengan Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik. 

"Nilai keseluruhan bagi semua projek ini ialah RM461 juta. Selain itu, sejumlah 82 projek sedang dalam peringkat prapembinaan membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM1.91 bilion sejajar dengan hasrat kerajaan negeri merealisasikan pengurangan masalah bekalan air kepada 90 peratus pada 2026. 

"Kerajaan negeri dan PAIP akan sentiasa berusaha memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaaan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura) mengenai kedudukan semasa kewangan PAIP dan tahap kemampuan kewangan PAIP bagi menampung keperluan pembangunan dan naik taraf bekalan air. 

Sementara itu, Wan Rosdy memaklumkan buat kali pertama dalam sejarah pengkorporatan PAIP, operator bekalan air itu telah berjaya mencatat keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023. 

"Keuntungan bukanlah fokus utama PAIP, kedudukan aliran tunai lebih positif dan kukuh adalah lebih diutamakan bagi memastikan PAIP berdaya saing dalam menyediakan kerja-kerja perbelanjaan modal.  

"Kerja-kerja perbelanjaan modal ini akan menjadi fokus utama dalam memastikan PAIP mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna. 

“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh ini dapat memberikan keyakinan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memberi peruntukan kewangan dalam usaha PAIP menggantikan paip usang, menaik taraf loji dan tangki-tangki,” kata beliau. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan