AM > BERITA

PENGHANTARAN “ANKA” MALE UAS KE MALAYSIA IKUT JADUAL - TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN TURKIYE

08/05/2024 12:58 PM

Oleh MOHD HAIKAL ISA

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Perolehan Malaysia terhadap tiga sistem pesawat tanpa pemandu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS) "ANKA" daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) yang dimeterai tahun lepas, berjalan lancar dan dijadualkan untuk penghantaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Bercakap kepada Bernama, Timbalan Menteri Pertahanan Turkiye Dr Celal Sami Tüfekçi berkata tidak akan ada kelewatan pada tarikh penghantaran ANKA MALE UAS ke Malaysia yang akan dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Saya tidak tahu tarikh yang tepat (untuk penghantaran), tetapi ia akan dihantar. Kini, dalam proses (pemasangan) beberapa keperluan khas dari Malaysia dan latihan untuk petugas (dari Malaysia)," katanya dalam temu bual yang diadakan di luar acara pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, laporan berita menyatakan bahawa Malaysia dijangka mula menerima "ANKA" MALE UAS bermula tahun depan.

Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan dron "ANKA" MALE UAS yang telah teruji dalam pertempuran, apabila Kementerian Pertahanan dan TAI menandatangani kontrak untuk memperoleh platform MALE UAS dan peralatan sokongan pada Mei tahun lepas semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).

Kementerian Pertahanan mengiklankan tender antarabangsa untuk mendapatkan tiga MALE UAS berserta sistem berkaitan seperti stesen bumi dan peralatan lain, pada Ogos 2020.

Tiga lagi sistem MALE UAS akan diperoleh pada Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).

Malaysia dilaporkan bakal menempatkan dron buatan Turkiye itu di pangkalan udara strategik di Labuan untuk memantau sebarang pencerobohan ke perairan negara di Laut China Selatan.

Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan melengkapi negara dengan keupayaan pengawasan menyeluruh dan keperluan mempunyai "mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar" segala yang berlaku dalam perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.

Malaysia dipercayai memilih varian "Anka-S" yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.

Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), dron Anka-S yang diperoleh Malaysia juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.

Peluru berpandu MAM juga terdapat dalam beberapa varian iaitu MAM-L (thermobaric), MAM-C (high explosive) dan MAM-T (serangan jarak jauh).

Dron Anka-S juga dilengkapi dengan kamera elektro-optik/inframerah (EO/IR) untuk mengambil imej dan video beresolusi tinggi dalam semua keadaan cuaca, sistem Identification Friend or Foe (IFF), penunjuk sasaran laser dan pengesan jarak laser.

Ia turut dilengkapi dengan antena komunikasi satelit udara ViaSat VR-18C yang berkuasa tinggi, menyediakan komunikasi selamat melepasi garisan penglihatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan